WATAK adiwira Superman cukup ikonik sebagai identiti perwira yang menjadi idola ramai khususnya golongan kanak-kanak.
Biarpun imej dan penampilannya pada mulanya dikritik kurang sesuai ditonton si kecil, namun peredaran zaman melihatkan watak fantasi itu ditambah baik dari segi kostumnya yang lebih moden dan kemas.
Namun, tahukah anda bahawa keistimewaan luar biasa dimiliki Superman yang mampu terbang tinggi merentas planet tercetus daripada rancangan radio yang bersiaran pada 1940 iaitu The Adventures of Superman.
BACA LAGI: Sama macam Marvel, Sonic The Hedgehog perkenal 3 lagi varian dimensi 'multiverse'
BACA LAGI: Era hero jadi 'villain', Captain America antara adiwira bakal muncul sebagai penjahat Marvel
Menurut Agensi, ayat ikonik "Look! Up in the sky! It's a bird! It's a plane! It's Superman!" disiarkan secara spontan dalam rancangan tersebut yang kemudiannya diadaptasikan ke dalam bentuk komik.
Rancangan radio The Adventures of Superman mula bersiaran pada 1940.
Menjadi ikutan ramai dan trend dalam kalangan penonton, perkara itu kemudiannya diangkat sebagai kuasa istimewa Superman yang mampu membelah awan di udara.
Dalam pada itu, kewujudan batu hijau kryptonite juga dilaporkan tercetus secara spontan dan tujuan asalnya adalah untuk memberi lebih masa buat pelakon suaranya berehat panjang.
Jadual rancangan itu yang bersiaran sebanyak tiga kali seminggu telah mengakibatkan pelakon suaranya, Bud Collyer kepenatan yang kemudiannya memaksa pihak produksi memperkenalkan kryptonite sebagai penyelesaian masalah tersebut.
Bud Collyer merupakan pelakon suara pertama yang memegang watak sebagai Superman.
Berdasarkan plot penceritaan siri popular itu, Superman akan menjadi lemah apabila pihak musuh menggunakan batu kryptonite hinggakan tidak mampu bersuara.
Justeru, ia sedikit sebanyak membantu Collyer mendapat lebih masa untuk berehat apabila hanya perlu membuat bunyi dengusan tatkala babak Superman dalam keadaan lemah.
Bersiaran selama 11 tahun sehingga 1951, rancangan radio itu memiliki lebih 2,088 episod dan seterusnya diadaptasi dalam bentuk komik dan filem di layar perak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram