
UNIK, bertenaga dan istimewa. Demikian ungkapan boleh digambarkan menerusi album terbaharu kugiran Margasatwa berjudul Seribudaya yang baru dilancarkan baru-baru ini.
Merupakan album kedua selepas kali terakhir pada 2019, aura Seribudaya cukup berbeza dengan kumpulan asal Kuala Lumpur itu jelas cuba keluar daripada kebiasaan dengan keunikan tersendiri di mata penggemar muzik.
Tidak lagi bernaung di bawah syarikat rakaman Luncai Emas, vokalisnya, Kimal, 32, enggan kumpulannya terus dibayangi kemasyuran pemiliknya, Datuk M. Nasir yang umum diketahui sangat disegani industri muzik tanah air.
Sebaliknya, Kimal atau nama lengkapnya Muhammad Akmal Hakim Mokhtar terus memperjuangkan Margasatwa di bawah syarikatnya sendiri iaitu Penerbitan Tongkat Sakti.
Kimal merupakan vokalis utama kumpulan Margasatwa.
"Untuk album kedua ini kami bukan lagi artis naungan Luncai Emas, Seribudaya diterbitkan bawah Penerbitan Tongkat Sakti, syarikat yang saya sendiri tubuhkan sejak 2020.
"Kontrak kami dengan Luncai Emas dah tamat sekitar 2019, masa tu Covid-19 melanda negara dan kami ambil keputusan untuk bawa haluan sendiri tapi hubungan kami masih baik macam biasa.
"Di bawah Tongkat Sakti, kami ada revolusi baharu dan Margasatwa sendiri akan tampil dengan muzik yang berbeza tapi masih kekal identiti nusantara muzik rock era 90an," katanya kepada Majoriti.
Margasatwa yang baru selesai mengadakan konsert sulungnya pada Ahad lalu menganggap ia sebagai satu kejayaan besar apabila dihadiri lebih 600 peminat dari serata negara.
Bercerita lanjut soal keistimewaan album keduanya, Kimal menjelaskan lagu Dalam Kotok merupakan karya pilihan kegemarannya kerana ia sarat dengan budaya dan dialek Terengganu.
"Lagu Dalam Kotok ni diibaratkan seperti batik Terengganu, setiap lirik dan bahasa lagu ni kita gambarkan sebagai elemen batik.
"Tapi setiap manusia ni hati dia berbeza-beza dan kita tak tahu apa tersirat di dalam, sama juga macam kotak kosong, taktau apa ada di dalam jadi kena buat sesuatu dengan hati ikhlas.
"Jangan 'judge' seseorang itu dari luaran sahaja, nilai dan kenal isi hati seseorang secara peribadi," ujarnya.
Usai konsert Gempita Alam Seribudaya di Shah Alam, Selangor, Margasatwa merancang untuk mengadakan konsert showcase di serata negara bermula Disember kelak.
Turut mensasarkan pendengar dari luar negara, Kimal tidak menolak untuk menembusi ke rantau Asia Tenggara khususnya di Indonesia, Brunei dan Singapura. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram