FILEM bertemakan adiwira semakin mendapat tempat di hati penonton yang kini bagaikan fenomena di layar perak antarabangsa.
Paling popular pastinya karya keluaran Marvel Studios yang bukan sahaja diminati kanak-kanak, malah golongan dewasa juga cukup menggilai setiap watak dihasilkan seperti Iron Man, Spiderman, Avengers dan sebagainya.
Filem trilogi Avengers: End Game mencipta sejarah apabila tersenarai sebagai filem terlaris sepanjang zaman dengan kutipan tiket sebanyak AS$2.79 billion (RM12.45 billion) dari serata dunia.
BACA LAGI: Sama macam Marvel, Sonic The Hedgehog perkenal 3 lagi varian dimensi 'multiverse'
BACA LAGI: Lagu Doraemon bantu pelajar kuasai Bahasa Jepun, jadi modul dalam silibus pelajaran
Tidak terhenti di situ, rangkaian filem epik adiwira itu dilaporkan sedang dalam pembikinan fasa kelima dan akan terus ditayangkan hingga ke penamatnya.
Memasuki fasa baharu Avengers, beberapa watak yang dahulunya sebagai adiwira dilaporkan bakal berubah menjadi penjahat dalam siri akan datang.
Perubahan itu sekali gus menampilkan keunikan Marvel yang sentiasa kreatif menghasilkan sesebuah karya yang penuh dengan debaran serta kejutan buat penonton.
Berikut merupakan tiga karakter yang dilaporkan bakal membuat kemunculan semula sebagai watak jahat dalam rangkaian Avengers.
Captain America
Lakonan mantap Chris Evans sebagai Captain America meninggalkan kesan cukup besar buat pengikut filem tersebut.
Namun, watak yang dianggap sebagai ketua Avengers itu difahamkan bakal kembali mewarnai karya tersebut menerusi watak berbeza.
Chris Evans dilaporkan akan membuat debut sebagai penjahat iaitu Captain HYDRA yang bakal menjadi salah satu entiti terbaharu yang cuba menguasai dunia.
Masih mengekalkan sut dan penampilan serupa, imej Captain HYDRA hanya berbeza dari segi warnanya yang diubah menjadi hitam dan merah.
Iron Man
Siapa sangka watak Iron Man yang sudah dilenyapkan dari filem Avengers, bakal muncul sebagai watak jahat paling terkuat dalam siri tersebut.
Watak ikonik Robert Downey Jr. cukup dikenali sebagai cendiakawan dengan kemahiran teknologi dan rekaan robotik yang menjadi kekuatannya sebagai Iron Man.
Namun, baru-baru ini Marvel mengesahkan pelakon itu bakal membintangi watak Dr Doom yang sebelum ini pernah muncul dalam filem Fantastic Four pada 2005.
Ibarat kelahiran semula, Dr Doom sedikit berbeza dengan Iron Man yang mana ia mempunyai kuasa sihir dan perisai yang mampu menghancurkan musuhnya dengan sekelip mata.
Menyamai kekuatan penjahat Thanos, Dr Doom difahamkan salah satu watak paling berkuasa dalam siri Marvel Universe.
Hulk
Hulk yang lebih sinonim dengan warna hijau, diberi nafas baharu sebagai Red Hulk yang berwarna merah.
Lebih ganas dan menakutkan, kerakusan Red Hulk dalam melawan musuh dikatakan tiada tandingannya apabila mampu menangkis sebarang serangan tanpa batasan.
Belum ada sebarang pengesahan pelakon yang bakal membintangi watak itu, namun penonton rata-ratanya tidak sabar menantikan kemunculan pencabar baharu dalam Avengers. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram