KALI pertama membawakan watak sebagai bapa dan individu Orang Kurang Upaya (OKU), lakonan mantap Qi Razali menerusi filem Babah mendedahkan sisi berbeza pelakon berusia 47 tahun itu.
Meskipun masih bujang, ia tidak menghalang Qi untuk memberikan yang terbaik dalam filem tersebut di samping gandingannya bersama pelakon-pelakon hebat lain seperti Sweet Qismina, Adam Lee dan Cristina Suzanne.
Terkenal dengan perwatakan mesra dan peramah, Qi menganggap filem Babah sebagai medan terbaik untuk dirinya menerima watak lebih berat berbanding karya sedia ada.
BACA LAGI: Qi Razali ada koleksi lebih 50 lagu, tak sabar kongsi karya terbaharu bersama The ExAct
"Saya pun dah beberapa filem yang saya lakonkan dan kalau nak letakkan diri sebagai pelakon, kena cuba bawa watak-watak berat macam ni. Maknanya kena yang lebih mencabar.
"Kalau boleh tak nak dah watak yang stereotaip sangat macam saya yang dulu-dulu orang kenal.
"Kalau dapat lagi watak macam bapa-bapa dan lebih matang ya, saya akan terima, biarlah setanding dengan usia saya juga," katanya kepada Majoriti.
Tambahnya, antara watak diidamkan adalah penyiasat detektif ataupun polis yang menurutnya jauh lebih mencabar sebagai seorang pelakon.
Filem Babah mengangkat tema kasih sayang dan pengorbanan seorang ayah terhadap anak perempuannya selain turut mengangkat nilai kekeluargaan yang cukup menyentuh emosi.
Terdahulu, Qi meneruskan karier muziknya bersama kumpulan yang baharu ditubuhkan, The ExAct.
Mengumumkan pengundurannya pada Januari tahun lalu, kugiran itu ditubuhkan selepas dirinya dikatakan tidak sehaluan dengan perjalanan muzik OAG usai konsert terakhirnya pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram