
BEKAS ahli kumpulan Dolla, Syasya, 24, atau nama lengkapnya Norsyasya Afiqah Shahrizal berkongsi detik sukar dihadapi apabila hampir melahirkan bayi pra matang ketika kandungannya berusia 30 minggu.
Jelasnya, perkara itu terjadi selepas kerap mengalami pendarahan dan ditahan di wad bersalin selama empat hari untuk untuk doktor memantau keadaan kandungannya.
"Ketika mengemas barang baby bersama suami, tiba-tiba saya rasa basah. Saya lihat ada darah tetapi tidak berasa sakit dan tertanya-tanya adakah ini normal?
"Pukul 12 malam kami ke hospital, ketika itu saya sudah ada kontraksi selang 10 minit. Doktor kata kemungkinan besar saya akan bersalin pada hari itu atau keesokkan harinya.
"Baby baru 30 minggu, berat pun dalam 1.3 kilogram. Jika bersalin memang baby akan terus di masukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Saya sedih sangat kerana takut apa-apa berlaku jika dia dilahirkan ketika itu," katanya menerusi perkongsian di TikTok.
Berkongsi tip dan amalan sepanjang melalui detik sukar itu, Syasya sentiasa mengamalkan doa Nabi Yunus dan berbual dengan anak dalam kandungannya.
"Masa itu saya tidak fikir banyak, cuma doa kepada ALLAH supaya baby tidak keluar lagi pada masa itu. Jika dia keluar sangat berisiko dan saya harap dia boleh tunggu sampai waktunya.
"Setiap kali kontraksi saya tidak henti membaca doa Nabi Yunus yang dikongsi ibu, selain saya rajin berbual dengan baby sambil mengusap perut. Sebenarnya baby boleh faham apa yang kita cakap," katanya.
Walau bagaimanapun, Syasya berasa lega apabila pemeriksaan kesihatan yang dijalankan mengesahkan pendarahan dialami telah berhenti dan kandungannya juga berada dalam keadaan sihat.
Memasuki usia 36 minggu, penyanyi berbakat itu difahamkan sedang menghitung masa untuk melahirkan cahaya mata sulungnya.
Terdahulu, Syasya mencetuskan kejutan ramai apabila mengumumkan pengunduran dirinya dari kumpulan Dolla dan melangsungkan perkahwinan dengan Nasrullah Mohd. Sapie pada 21 April lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram