'Kita kan dalam hujan', masih ingat Kamala Senario Lagi? Tak sangka dah jadi 'pesilat' lepas lama menyepi


  • Hiburan
  • Rabu, 04 Sep 2024

Bobby Kiran bakal membuat kemunculan terbaharu menerusi telefilem Rentak Seri.

SEBUT sahaja filem Senario Lagi, penonton pastinya tersenyum sinis mengimbau kembali babak mencuit hati dilakonkan pelawak veteran tanah air negara sekitar awal 2000.

Lebih menarik apabila gelak tawa itu turut diselangi dengan babak tarian romantis ala Bollywood yang pernah mencetuskan fenomena negara satu ketika dahulu.

Mengimbau kembali filem arahan Aziz M Osman itu, penonton pastinya terkenang watak Kamala lakonan Bobby Kiran yang ketika itu sangat diminati ramai jejaka dek kerana rupa parasnya yang manis dan merdu dalam nyanyian.

BACA LAGI: Sopan di sebalik 'lu, gua', Pyanhabib penyajak penting tahu isi tulang dan luar dalam KL

BACA LAGI: 'Tanpa fans saya bukan siapa-siapa', Putri Ariani impi gandingan duet dengan Siti Nurhaliza

Menyampaikan lagu duet Nyanyian Hujan bersama Yassin dalam babak romantis Senario Lagi, anak jati Kota Kinabalu, Sabah itu kini kembali bergiat aktif dalam lakonan selepas beberapa tahun menyepi.

Biarpun sekadar miming dalam filem terbabit kerana suara asal penyanyi lagu terbabit sebenarnya milik Elly Mazlein, peminat fanatik Senario masih belum melupakan Kamala terutamanya lirik 'kita kan dalam hujan adik jadi bimbang' sehingga sekarang.

photo_2024-09-02_18-23-04

Bobby melakonkan watak sebagai Kamala dalam filem Senario Lagi.

Terbaharu, Bobby sedang sibuk menjalani sesi penggambaran dalam sebuah telefilem bertajuk Rentak Seri arahan Firdaus Jenar terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Memegang antara watak utama dalam siri berkenaan, pelakon cantik manis itu bakal tampil dengan aksi lakonan yang lebih mencabar apabila perlu melakonkan watak Aishah yang merupakan seorang pesilat dalam drama tersebut.

"Watak Aishah setakat ini yang paling mencabar bagi saya, terima kasih tuan pengarah Firdaus Jenar kerana memilih saya.

"Salah satu watak yang paling saya tertunggu-tunggu selama ini," ujarnya di Facebook.

Telefilem Rentak Seri berkonsepkan drama aksi berat memaparkan elemen silat dan seni bela diri di Sabah.

Antara pelakon lain yang turut membintangi siri RTM itu adalah Syazuan Hassan, Isyariana dan ramai lagi artis lain.

Selain daripada bergelar pelakon, Bobby turut menjalankan perniagaan kosmetik secara atas talian iaitu 'Miss Bobby Cosmetic'.

Mula berjinak dalam perniagaan sejak 2021, kini penonton berpeluang menyaksikan penampilan terbaharunya menerusi Rentak Seri yang difahamkan akan mula bersiaran dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Bobby pernah mencuba nasib dalam bidang nyanyian apabila menghasilkan single yang berjudul Hari-Hari Berhari Raya pada 2020.

Turut pernah membintangi drama bersiri Singapura The Bridge, (2018), peminat pastinya tidak sabar menanti perkembangan karier pelakon tersebut selain daripada watak 'Kamala' yang pernah dilakonkan dahulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram