
PENYANYI hip hop popular tempatan, Zamaera, 29, atau nama sebenarnya Sharifah Zamaera Syed Zafilen Al Edros mendakwa privasi dirinya diceroboh beberapa pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) di sebuah pusat urut di SS14, Subang Jaya, Selangor pada Khamis.
Jelasnya, dirinya yang hanya diselimuti tuala ketika itu dirakam oleh salah seorang pegawai berkenaan yang menurutnya sengaja melakukan perbuatan itu atas kepentingan diri sendiri.
Mendakwa tindakan itu sebagai tidak bermoral, Zamaeraa menggesa agar pihak berkenaan tampil menjelaskan lebih lanjut berhubung kejadian tersebut.
BACA LAGI: Kekal relevan bersama Barbarik, Mus May ‘tapau’ industri rock lebih 3 dekad bergelar rockers
BACA LAGI: 'This is ours Malaysia', pelakon Siti Saleha ranggul anugerah Bintang Asia Terbaik di Seoul
"Ketika saya mempersoalkan tindakan pegawai itu, dia memberi alasan rakaman berkenaan adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) PBT.
"Bagaimana menceroboh privasi dan merakam mereka dalam keadaan tidak berpakaian boleh dianggap beretika.
"Jika anda memasuki rumah urut, anda perlu membuat pengumuman, bukannya menyelinap masuk dan melanggar privasi seseorang,” katanya menerusi hantaran di Instagram pada Jumaat.
Meskipun Zamaera menggesa agar video tersebut dipadamkan dari telefon pintarnya, pegawai berkenaan walau bagaimanapun menafikan perbuatannya itu lalu terus beredar dari lokasi terbabit.
Laporan polis telah dibuat berhubung kejadian tersebut namun masih belum ada sebarang kenyataan berkaitan hal itu dari pihak Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram