KARIERNYA pernah memuncak satu ketika dahulu, pelakon berwajah Pan Asian, Zahnita Wilson, 39, atau nama sebenarnya Zahnita Dorothy Hussein Wilson kini dilihat agak menyepi dari industri hiburan tanah air.
Cukup terkenal di pentas peragaan antarabangsa, penampilan Zahnita dahulunya kerap menghiasi muka depan majalah sebagai ikon fesyen tempatan ekoran bakat dan minat mendalam dalam bidang tersebut.
Malah, kecantikan rupa parasnya yang dikatakan mirip Datuk Seri Siti Nurhaliza juga antara daya tarikan yang membuatkan identitinya cukup dikenali terutamanya dalam kalangan lelaki.
BACA LAGI: Yassin Senario rupanya bekas 'striker' KL, pernah beraksi ketika Piala Milo di Jepun
BACA LAGI: 'Tak salah belajar dengan orang muda', Rahmad Mega kagum bakat BBNU, minat gila Haqiem Rusli
Bagaikan fenomena, dua lakonannya menerusi filem Kuliah Cinta dan Gila-Gila Pengantin Remaja pada 2004 sudah cukup untuk membuatkan pelakon kelahiran New Zealand ini digilai ramai.
Namun, kelahiran pelakon dan bakat-bakat baharu membuatkan namanya semakin suram dalam industri dan Zahnita kini tidak lagi muncul di mana-mana akhbar ataupun kaca televisyen.
Tegas menyatakan dirinya masih dalam keadaan baik, ibu kepada dua anak itu menganggap pintu rezeki lakonan dan pentas peragaan sudah lama tertutup buatnya.
Menjalankan perniagaan sejak Jun lalu, Zahnita mahu fokus untuk mengembangkan lagi jualan 'Humble Pie' miliknya sebagai punca pendapatan utama buat keluarganya.
"Soal berlakon dan model itu sudah lama berlalu buat saya, tak rasa nak cebur semula dalam bidang itu sekarang.
"Saya lebih fokus kepada perniagaan pie yang diusahakan sejak Jun lalu, Alhamdulillah mendapat sambutan menggalakkan, sekarang saya tengah siapkan tempatan untuk bulan ini sebanyak 1,000 pax.
"Saya terima tempahan secara bulanan, setakat ini ada ejen dan stokis di beberapa negeri di Kedah, Johor dan Kuala Lumpur," katanya kepada Majoriti.
Ketika disoal mengapa menjadikan hidangan pai sebagai perniagaan, Zahnita menjelaskan ia merupakan makanan kegemarannya ketika di Australia satu ketika dahulu.
Malah, hidangan itu merupakan resipi istimewa daripada ibu mentuanya yang mahu dikongsikan kepada orang ramai.
"Saya sukakan pai sejak di Australia dulu, sedap dan mudah untuk dinikmati.
"Ini resepi daripada mentua saya, sedap ada macam-macam perasa dan inti daging, ayam dan blueberry.
"Sebelum ni pernah cuba buat bisnes produk kanak-kanak dan fesyen tapi kurang menjadi, saya suka baking jadi apa salahnya kan," ujarnya.
Terdahulu, Zahnita pernah bergelar pensyarah fesyen di sebuah universiti tempatan selain turut memiliki kelas studio peragaan pada 2015.
Akui banyak menerima tawaran berlakon selepas kemunculannya dalam Kuliah Cinta, namun dia mendapati karakter diberikan agak kurang bersesuaian dengan dirinya dan mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia lakonan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram