Qi Razali ada koleksi lebih 50 lagu, tak sabar kongsi karya terbaharu bersama The ExAct


  • Hiburan
  • Rabu, 04 Dis 2024

Qi Razali bakal meneruskan karier muziknya bersama kumpulan baharu ditubuhkan iaitu The ExAct.

MASYUR di pentas muzik indie negara satu ketika dahulu, bekas pemain dram OAG, Qi Razali atau nama sebenarnya, Qushairi Mohammed Razali, 47, kini tampil dengan identiti berbeza bersama kumpulan The ExAct.

Mengumumkan pengundurannya pada Januari tahun lalu, kugiran itu ditubuhkan selepas dirinya dikatakan tidak sehaluan dengan perjalanan muzik OAG usai konsert terakhirnya pada 2022.

Pun begitu, Qi menjelaskan hubungannya bersama vokalis OAG iaitu Radhi, masih baik dan mesra seperti sedia kala.

BACA LAGI: Peserta hampir menang RM1 juta, Roda Impian antara rancangan TV 'game show' popular era 90an

BACA LAGI: Salji terburuk dalam sejarah 52 tahun, Ryzal Ibrahim, Aiman Tino antara artis terkandas di Korea Selatan

"Kami masih baik, tak ada masalah pun kalau kata lepak dan berjumpa di luar cumanya dalam hal muzik mungkin dah tidak sehaluan.

"Bila jumpa dengan kawan-kawan lama ni semua pun minat muzik, jadi itu yang tubuhkan band baru The ExAct, OAG kita biarkan dan kini kami dengan penampilan baharu.

"Tak tolak kemungkinan akan buat kolaborasi dengan OAG suatu hari nanti tapi untuk masa sekarang, fokus dulu dengan muzik The ExAct," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, Qi menjelaskan bahawa dia memiliki lebih daripada 50 buah lagu yang sudah lama disimpan dan kini bersedia untuk melancarkan kesemua karya tersebut.

www

Qi Razali (tengah) meneruskan karier muzik bersama kumpulan The ExAct.

Menganggap kekangan masa dan komitmen sebagai pelakon menjadi halangan untuk menghasilkan lagu baharu ketika bersama OAG, anak kelahiran Pulau Pinang itu kini lebih bersedia untuk meneruskan karier muziknya bersama The ExAct.

"Lagu dalam simpanan banyak, saya rasa lebih 50 macam tu sebab dulu kekangan masa nak siapkan dan tak sempat.

"Banyak lagu cuma kena pilih-pilih juga dan kena lengkapkan yang mana bersesuaian, tapi tak semua kita boleh selit dalam album, mungkin lima atau 10 macam tu saja.

"Kami minat muzik dan ada lagu sendiri, jadi masing-masing pun semangat untuk teruskan karier dalam bidang ini, Insya-ALLAH ada perancangan untuk buat showcase akan datang," katanya.

Terdahulu, Qi mengumumkan pengundurannya daripada OAG melalui hantaran di laman Instagram selepas 30 tahun bersama.

Qi yang merupakan vokalis dan pemain dram The ExAct menjelaskan, penubuhan kumpulan itu bersama Izmer (keyboard), Nizam (gitar), Ammal Bellamy (gitar), Yen (bes) serta Eric (bes) tercetus atas minat yang masih membara dalam bidang muzik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram