[VIDEO] 'Manusia suka menghukum tanpa fikir dosa', Tauke bidas tuduhan terpalit kontroversi pemerdagangan wanita


  • Hiburan
  • Sabtu, 30 Nov 2024

Tauke tegas menafikan dakwaan terlibat kes pemerdagangan wanita melanda negara baru-baru ini.

KERAP terpalit kontroversi pemerdagangan manusia dan kesalahan seksual, pelawak, Tauke Raja Lawak atau nama sebenarnya, Zamatul Amri Zakaria, 48, tampil membidas tuduhan tersebut.

Jelasnya, dakwaan itu sama sekali tidak benar dan masyarakat terlampau mudah menghukum tanpa memikirkan dosa dan kesalahan sendiri.

BACA LAGI: Salji terburuk dalam sejarah 52 tahun, Ryzal Ibrahim, Aiman Tino antara artis terkandas di Korea Selatan

BACA LAGI: Kekal relevan, persembahan G-Dragon beri mesej pedas, berbaur balas dendam terhadap industri K-Pop lepas 7 tahun menyepi

"Sekarang tengok aku dekat mana? Masih di sini kan, kalau betul-betul kesalahan itu, tahu tak berapa puluh tahun penjara?

"Manusia suka menghukum orang dengan cepat sedangkan kesalahan dan dosa kau sendiri, ada suruh tuhan cepatkan? Pandai pula kata, tunggulah dekat akhirat.

"Seseorang yang dituduh belum tentu bersalah, hanya orang yang kenal kau akan tahu kau macam mana," katanya menerusi satu sesi 'podcast' di YouTube pada Jumaat.

Tambahnya, tuduhan tanpa henti dilempar terhadapnya membuatkan dirinya pernah terfikir bertindak di luar kawalan sehingga sanggup mencederakan diri sendiri.

Jelas bekas naib juara program Maharaja Lawak Mega (2016) itu, dia nyaris terjun dari bangunan tingkat 27 akibat terlampau tertekan dengan kontroversi berkenaan satu ketika dahulu.

Namun, Tauke kini mengambil keputusan untuk terus berdiam diri dan enggan cepat 'melatah' dari segala kecaman serta tuduhan dihadapi.

"Iya lah, mungkin kesilapan aku semasa kes itu aku tak bangkit untuk membetulkan.

"Sebab sebelum inikan banyak kontroversi, selalunya aku ‘outspoken’ dan lawan netizen ketika itu. Tapi lagi kita melawan, lagilah kita teruk.

"Jadi sekarang ini kita reda sahaja, kita bersalah ataupun tidak. Sebab kita tak boleh tutup jutaan mulut di luar sana," katanya.

Terdahulu, seorang pelawak tempatan ditahan atas dakwaan merogol gadis berusia 20an di Johor Bahru, Johor pada Khamis.

Meskipun identiti pelaku belum didedahkan, namun nama Tauke merupakan antara yang terpalit dengan kes berkenaan ekoran kes skandal yang pernah melanda dirinya sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram