PEMPENGARUH dan selebriti terkenal, Khairul Aming, 32, atau nama lengkapnya Khairul Amin Kamarulzaman tampil prihatin menyalur bantuan buat mangsa banjir di Pasir Mas, Kelantan pada Jumaat.
Cakna dengan bencana banjir melanda beberapa buah negeri di Kelantan sejak beberapa hari lalu, Khairul bersama beberapa sukarelawan lain hadir memberikan bantuan makanan dan kelengkapan pakaian buat penduduk terjejas.
Dalam tempoh dua jam, seramai 2,000 mangsa berjaya dibantu hasil kutipan diperoleh daripada orang ramai di laman sosial peribadinya.
BACA LAGI: Yassin Senario rupanya bekas 'striker' KL, pernah beraksi ketika Piala Milo di Jepun
Antara barangan disalurkan adalah pakaian wanita, ubat-ubatan, lampin bayi, makanan kucing dan pelbagai lagi kelengkapan harian buat mangsa.
Bakal meneruskan misi bantuan di Kelantan, usahawan 'Sambal Nyet' itu juga akan membawa ribuan paket daging dendeng buat penduduk yang terjejas dengan bencana tersebut.
"Hari ini kita akan 'go bigger', kilang saya akan bawa beribu dendeng yang dah dipek dan kita juga akan sediakan nasi serta barang keperluan penuh satu lori besar pada Sabtu.
"Sukarelawan dijemput datang untuk sumbang tenaga dan barang keperluan," ujarnya.
Khairul Aming memohon bantuan sukarelawan menerusi hantaran InstaStory.
Terdahulu, mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 82,256 orang dan kini ditempatkan di 279 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 10 buah daerah.
Daerah Pasir Mas direkodkan sebagai kawasan paling teruk terjejas setakat ini apabila seramai 25,826 mangsa sedang berlindung di 61 buah PPS. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram