SEBUT sahaja nama Mus May, setiap peminat muzik rock pastinya terbayang akan kemantapan vokal dan kelincahan penyanyi kelahiran Ipoh, Perak ini yang cukup memukau di pentas persembahan.
Berpengalaman lebih tiga dekad sejak kali pertama menjejak kaki dalam industri pada 1985, sehingga kini reputasinya kekal di puncak dan masih dikenali dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
Paling dinanti-nantikan, pastinya aksi lincah dan persembahan bertenaga penyanyi itu di pentas persembahan yang berupaya memukau setiap penonton hadir ke konsertnya.
BACA LAGI: Prihatin nasib pelakon veteran, syarikat TV swasta tawar 2 program khas buat Ebby Yus
BACA LAGI: Anak didik pertama sifu M Nasir, lukisan mural Joey Daud pernah ditempah Sultan Johor
Mus sentiasa memukau penonton dengan kekuatan vokal dan persembahan berkualiti.
Boleh dianggap antara ‘sifu’ rock tanah air, Mus May atau nama sebenarnya Mustaffa Din, 56, pernah menganggotai beberapa kumpulan rock tanah air yang pernah mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat tegar rock satu ketika dahulu.
Bakat seninya mula terbentuk selepas tamat alam persekolahan apabila menubuhkan kugiran rock Green Agnour pada 1985.
Namanya kian menyinar apabila bakatnya dikesan oleh Mohamad Saarip Yaakob ataupun Man, (pemain dram May) yang kemudiannya ditawarkan sebagai vokalis utama kumpulan tersebut.
Sejak itu, karier muziknya terus melonjak tinggi apabila hampir kesemua lagu dan album dihasilkan terjual laris dan menjadi kegilaan ramai rockers tempatan pada era 90an.
Beberapa anugerah dan pencalonan trofi turut diraih kumpulan itu dengan pertandingan Juara Rock Perak ( 1986) merupakan gelaran pertama diraih sejak menceburkan diri dalam industri.
Namun, jodoh Mus dan kumpulan itu tidak berpanjangan apabila mengambil keputusan meninggalkan May akibat beberapa ahlinya yang dikatakan terjebak najis dadah jenis heroin.
Mus kemudiannya menyertai kumpulan Strangers yang mana kumpulan itu ditubuhkan hasil dari perpecahan kumpulan rock yang lain.
Namun, pembaharuan konsep dan nyanyian Mus bersama kumpulan tersebut kurang diterima segelintir peminat yang kemudiannya memaksa penyanyi itu menyertai kugiran Wings yang pada ketika itu cukup terkenal.
Vokalisnya, Awie yang yang meninggalkan kumpulan itu akibat isu peribadi membuka pintu rezeki buat pelantun lagu Srikandi Cinta itu kembali menggegar industri pada 1995.
Mus pernah menyertai kumpulan Wings menggantikan Awie satu ketika dahulu.
Selang lima tahun kemudian, kepulangan Awie bersama Wings membuatkan Mus terpaksa meninggalkan kumpulan tersebut yang sekali gus kembali terpaut semula pada ‘kekasih lama’ iaitu May yang ketika itu terumbang-ambing akibat ketiadaan vokalis utama.
Peredaran zaman yang kini semakin rancak dengan kelahiran pemuzik-pemuzik baharu tidak menjejaskan imej Mus May sebagai rockers berpengaruh tempatan apabila muncul sebagai naib juara program realiti Gegar Vaganza (2020).
Tak lapuk ditelan dek zaman, Mus kini terus melangkah ke hadapan bersama kumpulan yang baharu ditubuhkan bersama bekas gitaris Wings, Jo Branko yang diberi nama Barbarik.
Terbaharu, kumpulan yang dianggotai Mus selaku penyanyi, Jo Branko (gitar), Ainoll (dram) dan Rozaimie (bass) itu baru melancarkan album sulungnya berjudul Peluru Cokelat sekitar November lalu.
Menyatukan aliran muzik lama dan baharu melalui album tersebut, Barbarik difahamkan merancang menganjurkan konsert jelajah di utara, selatan dan timur Semenanjung tidak lama lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram