BERWAJAH manis dan mesra dengan senyuman, penyanyi popular era 80an, Razis Ismail, 64, merupakan antara artis zaman retro paling popular satu ketika dahulu.
Manakan tidak, penyanyi kelahiran Pulau Pinang ini cukup sinonim dengan ukiran senyuman manis yang acap kali mencairkan hati peminatnya khususnya golongan wanita.
Penampilannya dalam konsert dan festival muzik sentiasa dihadiri ramai peminat selain lagu-lagu nyanyiannya juga antara yang kerap diputarkan di corong radio di zaman kegemilangannya.
BACA LAGI: SIAR: Sebelum jadi 'CEO Megah Holding', Mustapha Kamal pernah bergelar 'rockstar'
BACA LAGI: SIAR: Ada darah 'mix', pelakon popular Singapura-Indonesia raih populariti filem Melayu retro
Pernah digelar penyanyi terkacak negara satu ketika dahulu, karier seninya melonjak naik apabila muncul buat pertama kali sebagai pelakon menerusi filem Mawar Merah pada 1987.
Meskipun sekadar memegang peranan watak sampingan, namun impaknya terhadap filem karya Rosnani Jamil itu cukup besar apabila meraih kutipan pecah panggung di pawagam negara.
Ditayangkan selama lebih 27 hari, Mawar Merah menjadi filem terlaris pada 1987 dengan kutipan sebanyak RM371,000 yang ketika itu merupakan satu angka cukup besar.
Lebih tiga dekad berlalu, penampilan Razis di layar perak masih tersemat dalam ingatan penonton yang pastinya merindui lontaran dialog pelakon itu di kaca televisyen.
Namun, Mawar Merah merupakan satu-satunya naskhah pernah dibintangi Razis yang difahamkan ketika itu lebih meminati karier muzik berbanding lakonan.
Terkenal dengan lagu bergenre pop dan balada, Razis sentiasa tampil dengan keunikan tersendiri sepanjang bergelar penyanyi dengan keseluruhan album dihasilkan adalah sebanyak lima buah sejak 1982.
Lagunya yang masih menjadi siulan peminat, membuatkan penampilan Razis sentiasa dinanti-nantikan hinggakan beliau pernah ditawarkan menyertai program realiti Gegar Vaganza musim ke-3 pada 2016.
Razis kekal relevan walaupun usia menginjak ke angka 64 tahun.
Kekal berpenampilan kemas dan tampan, platform itu boleh dianggap sebagai pembuka rezeki buatnya apabila masih aktif menerima tempahan nyanyian sekitar ibu kota.
Pernah mencuba nasib menjalankan perniagaan restoran pada 2021, namun wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika itu telah memberikan kesan besar terhadapnya dan difahamkan tidak lagi beroperasi selepas beberapa tahun negara dikenakan sekatan.
Meskipun lama tidak membuat kemunculan di televisyen, anugerah dan bakat nyanyian dimiliki tidak disia-siakan apabila Razis kerap menerima jemputan nyanyian di acara tertutup dan jemputan tetamu VIP. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram