INDUSTRI perfileman tanah air kian menempa nama di persada antarabangsa menerusi naskhah berkualiti setaraf Hollywood.
Meskipun masih jauh ketinggalan dari segi teknologi dan penggunaan kesan khas komputer (CGI), namun jurang antara karyawan tempatan dan luar negara semakin mengecil dengan beberapa filem dihasilkan mula mendapat tempat di hati penonton luar.
Terbaharu, filem Takluk: Lahad Datu yang baru-baru ini ditayangkan di platform Netflix kembali hangat diperkatakan masyarakat.
BACA LAGI: Prihatin nasib pelakon veteran, syarikat TV swasta tawar 2 program khas buat Ebby Yus
BACA LAGI: Anak didik pertama sifu M Nasir, lukisan mural Joey Daud pernah ditempah Sultan Johor
Lebih membanggakan apabila karya arahan Zulkarnain Azhar itu turut meraih pujian penonton dari Thailand yang cukup menyanjungi filem aksi perang tersebut.
Takluk: Lahad Datu diinspirasikan daripada operasi Ops Daulat yang pernah menggegarkan negara pada 11 Februari 2013.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beberapa warga Thailand meninggalkan komen positif dan turut menjadikan Takluk: Lahad Datu sebagai karya perlu dicontohi.
"Filem ini sungguh bagus, saya harap Thailand boleh menghasilkan filem seperti ini," kata Narawit.
"Saya rasa pengarah berjaya melakukannya dengan baik, saya nak Thailand buat filem aksi macam ini pasal misi perang. Pernah dengar kisah seorang askar Thai sertai misi tapi tersalah operasi dan dihantar ke pihak musuh," ujar Pele Pele.
"Filem Malaysia sangat bagus dan berkualiti," tambah Ekapan Echo Pengsri.
Umum mengetahui kredibiliti negara gajah itu dalam menghasilkan filem, tidak kurang hebatnya dengan beberapa pelakon dimiliki turut menempa nama di persada Hollywood.
Namun, reaksi positif daripada penonton luar terhadap perfileman tanah air menandakan bahawa industri tempatan kini berada di landasan terbaik untuk terus memahat sejarah antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram