SENI pertahan diri silat semakin mendapat tempat di hati masyarakat ekoran pengaruh besar dibawakan industri perfileman tanah air kebelakangan ini.
Penghasilan naskhah berbentuk sejarah pahlawan melayu seperti Mat Kilau dan Pendekar Awang banyak menyumbang kepada pengaruh pencak silat khususnya dalam kalangan golongan muda.
Hal itu dilihat sebagai satu modus operandi terbaik dalam usaha penggiat seni untuk mengangkat seni silat ke persada antarabangsa seperti dilakukan negara jiran, Indonesia.
BACA LAGI: Aktif di TikTok, guru silat mahu 'bersihkan' imej seni bela diri Melayu, tarik minat semua bangsa
Jika di seberang, nama besar seperti Yayan Ruhian, Iko Uwais dan Cecep Arif Rahman sudah cukup dikenali di pentas Hollywood sebagai pesilat Indonesia yang berjaya terjun ke dunia lakonan.
Namun, berbeza pula di Malaysia apabila kita masih ketandusan pesilat yang benar-benar berkebolehan membawakan watak pahlawan di layar perak menyamai pencapaian ketiga-tiga individu berkenaan.
Yayan Ruhian merupakan antara pesilat Indonesia yang mencipta nama di pentas Hollywood.
Berkongsi pendapat berhubung perkara itu, Ikon Selebriti Dunia Seni Silat Kebangsaan iaitu Pangiran Nurdian Syah atau lebih dikenali sebagai Tok Panglima Aduka, 38, akui ia merupakan kerugian buat negara jika tiada tindakan diambil.
Jelasnya, meskipun silat diiktiraf sebagai warisan seni budaya Malaysia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), namun negara masih sedikit ketinggalan berbanding Indonesia.
Pangiran Nurdian Syah mula mendalami seni silat sejak berusia tujuh tahun.
"Kalau dari segi industri perfileman dan hiburan, memang di Indonesia mereka ada beberapa nama besar yang memang asalnya pesilat dan kemudian menjadi pelakon.
"Berbeza pula di Malaysia, aksi silat kebanyakannya dilakonkan pelakon-pelakon yang diberi peluang menjadi muka hadapan bagi membawakan watak pahlawan melayu.
"Sayang juga kalau kita tak angkat pesilat-pesilat sedia ada ke layar perak sebab kita ada generasi baharu yang sangat berbakat, kena ingat silat ini bukan untuk betempur sahaja, tapi ia untuk semangat dan jati diri individu.
"Sebelum ini kita mungkin ada Wak Didi (Ruzaidi Rahman) dalam industri yang merupakan bekas juara silat dunia tapi sekarang usia tak mengizinkan jadi kena la tampilkan pelapis sedia ada," katanya kepada Majoriti.
Tegas menolak dakwaan silat melayu ada kaitan dengan ilmu khurafat, Nurdian mendakwa hanya 10 peratus yang masih mengekalkan budaya sedemikian.
"Memang ada adat dan budaya macam itu dalam seni silat tapi saya boleh katakan 10 peratus sahaja sekarang, selebihnya dah tak amalkan dah perkara itu.
"Yang dikekalkan adalah amalan bacaan Al Fatihah dan doa ketika buka gelanggang, sebagai Islam itu kan sunnah jadi tak salah," tambahnya.
Juga merupakan pelakon teater dan pengarah aksi filem tempatan, Nurdian bakal muncul di layar perak menerusi dua buah filem iaitu 6 Jilake dan Sumpah Keramat Mat Kilau yang dijadual ditayangkan pada 2025. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,