PENGARUH muzik Korea Selatan ataupun K-Pop semakin mendominasi pasaran muzik antarabangsa menerusi lagu dan tarian bertenaga dipamerkan di pentas persembahan.
Malah, senario muzik K-Pop juga dikatakan tidak jauh beza dengan Hollywood dan Bollywood kerana kian diminati di serata dunia khususnya golongan remaja.
Dibarisi ramai artis berkumpulan dan solo yang serba berbakat, namun gelaran 'King of K-Pop' kekal menjadi milik G-Dragon dari kumpulan popular, Big Bang.
BACA LAGI: Tidak dikurniakan cahaya mata, Michelle Yeoh rasa diri gagal walau cemerlang di Hollywood
Merupakan antara kumpulan K-Pop berpengaruh di Korea Selatan, Big Bang yang dahulunya dianggotai lima ahli kini membuat kemunculan semula bersama tiga penyanyinya iaitu G-Dragon ataupun Kwon Ji-yong, 39, Tae Yang, 36, (Dong Young-bae) dan Dae Sung, 35, (Kang Dae-sung).
Namun, antara ketiga-tiganya, G-Dragon memiliki kekuatan tersendiri apabila berperanan sebagai komposer dan penulis lirik utama kumpulan itu selain turut dikenali dalam karier solonya.
Kumpulan K-Pop Big Bang kembali bersatu selepas tamat menjalani latihan ketenteraan.
Selepas hampir tujuh tahun menyepi dari industri kerana perlu menyertai latihan ketenteraan pada 2017, kemunculan semula G-Dragon meraih tumpuan seantero dunia apabila masih kekal relevan di mana peminat.
Pelancaran single terbaharunya berjudul POWER baru-baru ini mendapat liputan meluas media antarabangsa yang cukup ternanti-nantikan karya penyanyi versatil itu.
Namun, penghasilan lagu tersebut dilaporkan mempunyai kaitan dan mesej tersirat ketika dia ditahan akibat dakwaan pengambilan barang terlarang dadah sebelum ini.
Dikritik teruk oleh media dan industri muzik Korea Selatan, G-Dragon tetap berjaya membuktikan dirinya tidak bersalah dan bebas daripada tuduhan tersebut selepas beberapa kali disoal siasat.
Bagaikan merajuk dan balas dendam terhadap persepsi negatif orang ramai, penyanyi kelahiran Busan, Korea Selatan itu melancarkan single POWER tanpa sebarang liputan media mahupun pembabitan syarikat rakaman muzik.
Sebaliknya, dia terus mengumumkan hal itu di laman Instagram peribadinya yang kemudiannya berjaya menduduki carta teratas muzik popular Korea.
Menurut laporan Agensi, beberapa lirik lagu itu membawa maksud sindiran terhadap media Korea selain mengetengahkan konsep kepelbagaian dalam karier solonya.
"Selama tujuh tahun saya berehat, saya merasakan pengaruh besar media terhadap karier saya, lagu ini adalah sindiran dan mesej terhadap kuasa media.
"Ia juga lagu berkisahkan tentang kekuatan kerana ia adalah maksud sebenar muzik bagi saya," katanya.
Tidak cukup dengan itu, penampilan G-Dragon bersama Big Bang baru-baru ini di pentas Mnet Asian Music Awards (MAMA) 2024 juga dikatakan membawa maksud tersirat apabila menyanyikan lagu popularnya, Bang Bang Bang.
Ironinya persembahan itu, lontaran vokal bekas ahlinya, TOP, 37, ataupun Choi Seung-hyun masih kedengaran di pentas walaupun penyanyi itu dikecam hebat ekoran didapati positif dadah jenis ganja di negara berkenaan.
Tidak menghiraukan sebarang persepsi negatif mahupun tohmahan terhadap perjalanan seninya, G-Dragon terus membuktikan dirinya antara pelopor muzik K-Pop terunggul di Korea.
Malah, pengaruhnya semakin berleluasa di pentas antarabangsa selepas berjaya membuktikan dirinya masih relevan di samping kumpulannya, Big Bang yang kini berwajah baharu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram