[VIDEO] Lama menghilang, pelakon veteran Amin Khan kini penebar roti canai di Seremban


  • Hiburan
  • Rabu, 27 Nov 2024

Tangkap layar pelakon Amin Khan sedang menebar roti canai di premis miliknya di Seremban, Negeri Sembilan.

PERNAH menyinar di era 70an, pelakon dan pengarah veteran, Datuk Amin Khan, 69, kini merupakan seorang penebar roti canai di sebuah restoran dekat Seremban, Negeri Sembilan.

Kali terakhir dilihat muncul di kaca televisyen sekitar Jun lalu, Amin Khan difahamkan sudah lama menceburi bidang perniagaan sejak beberapa tahun lalu.

Namun, perkongsian seorang warganet di TikTok pada Isnin mengubati kerinduan peminat apabila pelakon itu dilihat sedang sibuk menebar roti canai di sebuah premis dipercayai miliknya.

Amin Khan atau nama lengkapnya, Abdul Amin Mohd Kassim difahamkan turut menerima tempahan ramai dan menjual makanan itu dalam bentuk sejuk beku di serata Seremban.

Rata-rata warganet berkongsi pengalaman menikmati air tangan pelakon Opah (1983) itu yang disifatkan cukup peramah dan mesra melayan peminat.

"Lama dah tak nampak dia berlakon, Alhamdulillah selalu sarapan roti canai dia, mesra saja, suka borak," kata NaaArif.

"Baru pagi tadi makan roti telur pelakon otai ni, dia berniaga di Seremban, semoga sihat selalu," ujar yusman atin.

"Memang Datuk Amin ni asal orang 'nogori' (Negeri Sembilan), harap perniagaan makin maju, sayang sebab dia berbakat besar mengarah filem," tambah JuJanaidah.

Banyak membintangi siri televisyen, peranan Amin lebih kerap memainkan watak sebagai seorang bapa selain turut pernah menjadi pengarah drama sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram