KEBOLEHAN bertutur dalam bahasa Tamil, menjadikan anak muda berusia 24 tahun ini semakin dikenali dalam industri muzik tanah air.
Komposer dan penyanyi Zubir Khan, 24, atau nama sebenarnya, Muhammad Zubir Mohamad Ali, mencipta rekod peribadi tersendiri apabila hampir kesemua lagu bahasa Tamil ciptaannya mencatat jutaan tontonan di YouTube.
Paling kerap dimainkan di corong radio dan menjadi siulan ramai pastinya Yennode Macha dan Oh My Khadhale hasil nyanyian duet dengan rakannya, Ezra Kairo.
BACA LAGI: Bukan saja Green Day, Maroon 5 juga sah beraksi di Malaysia pada Februari 2025
BACA LAGI: Dulu Apa Celop Toq kini Oh! Makcik, satira sinikal jadi 'makanan' Taiyuddin Bakar bersama Uncure
Kekurangan dirinya yang tiada tangan kiri akibat termasuk ke dalam mesin kek sewaktu berusia empat tahun, menjadikan dirinya cukup dikenali dengan identiti dimilikinya.
Dalam pada itu, warganet tidak lekang daripada memberikan sokongan penuh terhadap Zubir yang dikatakan memiliki persamaan dengan seorang lagi penyanyi serba boleh iaitu Azmi dari kumpulan Caliph Buskers.
Biarpun kurang sempurna secara fizikal, namun berbekalkan bakat dan anugerah dikurniakan membuatkan kedua-duanya cukup istimewa dalam kalangan peminat.
Ketika disoal tentang tanggapan orang ramai yang ingin melihat Zubir melebarkan sayapnya ke dalam dunia lakonan sama seperti Azmi, dia sememangnya ingin menceburkan diri dalam lakonan drama melayu.
"Saya bangga la kalau ada yang samakan saya dengan Azmi Caliph Buskers, kalau ada pelawaan untuk berlakon memang saya tak tolak rezeki.
"Sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem Tamil tempatan tetapi mungkin tak diketahui ramai sebab ia bukan pasaran kita, jadi teringin juga nak berlakon dalam arahan pengarah Melayu.
"Tapi bergantung juga pada watak diberi, kadang-kadang dengan kekurangan fizikal saya tak semuanya bersesuaian untuk dilakonkan tetapi saya memang bercadang untuk kembangkan lagi bakat dalam industri," katanya kepada Majoriti.
Dalam pada itu, Zubir turut menyatakan hasratnya untuk berduet dengan penyanyi veteran terkenal tanah air, Datuk David Arumugam dari kumpulan Alleycats.
David Arumugam merupakan penyanyi berbangsa India yang disegani dalam industri muzik tanah air.
Katanya, dia amat meminati muzik retro dari kumpulan itu dan teringin untuk bekerjasama dengannya jika diberi peluang.
"Saya minat Alleycats, memang ada pasang impian untuk berduet satu hari nanti kalau ada rezeki.
"Selain Alleycats, Apak (Harry Khalifah) dari kumpulan Khalifah pun saya suka tengok dan minat lagu dia, memang teringin nak berduet dengan insan hebat macam mereka.
"Kalau di luar negara, impian saya cuma satu iaitu berduet dengan idola saya sejak kecil, Anirudh Ravichander iaitu komposer terkenal dari India," tambahnya.
Perkembangan terkini, Zubir Khan bakal melancarkan single terbaharu berjudul Unik pada 30 September nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram