[VIDEO] 'Belakang Tabir lagu balada terbaik tahun ini', Anuar Zain kecewa Syamel tak masuk final AJL39


  • Hiburan
  • Isnin, 18 Nov 2024

Anuar Zain merupakan antara penyanyi yang meluahkan kekecewaan ekoran lagu Belakang Tabir nyanyian Syamel terkandas di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 39.

PENYANYI popular Anuar Zain, 54, meluahkan kekecewaannya apabila lagu nyanyian Syamel berjudul Belakang Tabir terkandas di pentas Separuh Akhir Muzik-Muzik 39 pada Sabtu lalu.

Menganggap ia sebagai sebuah karya berkualiti dan disampaikan dengan cukup baik, pelantun lagu Sedetik Lebih itu walau bagaimanapun akur dengan keputusan juri.

BACA LAGI: Tak 'koyak' dikecam rakyat Indonesia, pelukis batik Venom bakal tembus kaca TV menerusi animasi Kisah Bawah Tanah

BACA LAGI: Kekal imej bertanjak, Shaukat sudah sebelah kaki ke pentas WWE

"Saya sedih lagu anak saya (Syamel), Belakang Tabir tak dapat masuk final AJL.

"Menurut saya, lagu tersebut antara lagu balada yang bagus untuk tahun ini.

"Syamel sudah buat yang terbaik, menyanyi dan melakukan persembahan pun sangat bagus, tapi mungkin itulah sayang tiada rezeki," katanya menerusi siaran langsung di TikTok.

Anuar yang juga bapa saudara kepada Ernie Zakri merupakan antara individu yang banyak memberikan sokongan dan dorongan buat kedua pasangan penyanyi itu.

Terdahulu, Ernie turut meluahkan rasa kecewa apabila lagu Sebalik Tabir yang ditulis khusus buat dirinya itu gagal layak ke pentas akhir.

"Dia (Syamel) menulis lagu tersebut untuk saya. Sayang, kita kehilangan satu lagu yang bagus. Saya bukan mahu menjadi bias. Tapi ini adalah fakta," ciapnya di laman X.

Sebanyak 10 buah lagu diumumkan berjaya layak ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) 39 yang mana kebanyakannya didominasi genre balada.

Lagu Aura nyanyian Ernie bakal berentap bersama lagu lain antaranya Sengaja (Amir Masdi), Puas Sudah (Aina Abdul), Terus Bersinar (Hafiz Suip), Hening Rindu (Marsha Milan), Diam (Hael Husaini), Bukan Lagi Kita (Nadeera Zaini), Saksama (Akim & Majistret), Pujaanku (Masdo ft Aisyah Aziz) dan Risiko (Benzooloo, Ghidd, Isobahtos, dan Meerfly, Tuju & MK K-Clique). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram