KEHADIRAN bakat-bakat penyanyi muda kini semakin mendapat tempat di hati peminat dengan peredaran muzik tanah air juga kian terbuka menerima pendatang baharu.
Meskipun dilabel sebagai penyanyi BBNU, pandangan negatif yang pada mulanya membelenggu golongan itu semakin berubah apabila setiap karya dihasilkan tidak kurang hebatnya.
Buktinya, stesen radio tempatan juga tidak asing daripada memutar lagu nukilan BBNU yang meraih jumlah pendengar tinggi di platform sosial.
BACA LAGI: Anak didik pertama sifu M Nasir, lukisan mural Joey Daud pernah ditempah Sultan Johor
BACA LAGI: Kecewa industri komik tak laku, kartunis Ujang gesa saluran TV khas buat pelukis komik animasi
Turut mendapat tempat di hati penyanyi otai negara, Rahmad Mega, 55, atau nama sebenarnya Rahmad Tohak menyuarakan pujian terhadap penyanyi baharu yang menurutnya, sangat berbakat dan memiliki peluang cerah dalam bidang muzik.
Meminati karya Haqiem Rusli sejak sekian lama, lagu terbaharunya berjudul Sangkar Derita antara yang paling dikagumi bekas juara rancangan realiti Terpaling Juara (2022) itu.
"Haqiem Rusli antara yang saya minat, dia memang berbakat dari segi suara dan pandai mencipta lagu yang berkualiti.
"Sangkar Derita banyak saya dengar dimainkan di radio, seronok dengar artis baharu macam dia semakin dikenali dan hasilkan lagu yang sedap.
"Tak kira la dia artis BBNU ke lama ke, kalau bagus kita kena puji dan tak salah pun sebenarnya kalau penyanyi lama belajar dengan orang muda," katanya kepada Majoriti.
Haqiem Rusli merupakan antara penyanyi muda berbakat negara.
Akui peredaran zaman semakin memihak kepada golongan itu, Rahmad berharap agar industri muzik tanah air sentiasa menerima baik setiap pendatang tanpa membeza-bezakan seseorang individu.
Katanya, generasi muda dan lama perlu bekerjasama dan saling berkongsi ilmu kerana masing-masing ada kelebihan tersendiri.
"Nak bersaing dengan artis baharu, saya perlu hasilkan lagu moden yang lebih terbuka didengari pendengar muda, kena masuk genre mereka yang sekarang lebih ke arah pop.
"Begitu juga dengan penyanyi muda, kena timba ilmu dengan 'otai-otai' yang lebih berpengalaman, itu satu perkara yang tidak boleh dibeli," tambahnya.
Mengulas lanjut isu penyertaan artis veteran dalam program realiti Gegar Vaganza (GV) musim ke-11 baru-baru ini, Rahmad selaku bekas peserta musim pertama tidak menganggap ia sebagai satu perkara yang salah.
Sebaliknya, platform itu perlu digunakan sebaiknya oleh setiap artis yang turut serta bertanding.
Rahmad Mega ketika bertanding dalam rancangan realiti Gegar Vaganza musim pertama.
"Setiap pemarkahan juri dibuat berdasarkan persembahan bukannya kualiti ataupun kredibiliti artis itu, tak jatuh pun martabat.
"Kita ambil contoh macam Naqiu, dulu dia lama menghilang tapi lepas muncul di GV terus karier dia melonjak semula, ini semua hasil usaha dan kemahuan individu itu sendiri.
"Pendapat saya tak salah pun artis lama nak sertai GV, ikut pendirian masing-masing tapi saya tak rasa itu salah," ujarnya.
Kini, Rahmad masih bergiat aktif membuat persembahan di majlis tertutup dan festival muzik di lembang Klang.
Lebih 30 tahun dalam industri, Rahmad kekal relevan dan banyak membuat persembahan pada majlis tertutup dan festival muzik di sekitar lembang Klang.
Bakal membuat kemunculan lagu baharu hasil karya komposer muda tanah air, namun perkara itu masih terlalu awal untuk dikongsikan dan sedang dalam proses perbincangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram