KOMPOSER tersohor Othman Mohamed, 65, disahkan meninggal dunia di kediamannya dekat Seksyen 24, Shah Alam, Selangor pada malam Ahad akibat sesak nafas.
Perkara itu dikongsikan beberapa rakan artis dan kenalannya di laman Facebook pada Isnin susulan pemergian insan hebat tanah air itu.
Komposer yang juga abang kepada penyanyi lagu Kau Pergi Jua, Allahyarham Adam Ahmad itu difahamkan menetap sendirian di kediamannya namun akan ditemani anak-anaknya setiap hari.
BACA LAGI: Ahmad Nawab hembus nafas terakhir pada usia 92 tahun
BACA LAGI: Sharnaaz Ahmad serlah bakat nyanyian menerusi lagu 'Nugget', dipuji mirip kumpulan Gun N' Roses
Salah seorang kenalan rapat yang juga merupakan pemuzik, Shah Rom antara yang terawal menerima perkhabaran duka itu.
Jelasnya, negara kehilangan seorang insan hebat yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik tempatan.
"Selamat pulang ke negeri abadi bang, komposer lagu yang mencipta banyak lagu-lagu hebat.
"Orangnya bersahaja dan tak terlalu menonjol, lebih santai di belakang tabir, sempat berkolaborasi dengan beliau untuk beberapa buah lagu, mudah mesra dan seronok berkongsi ilmu.
"Budak-budak UiTM, lagu UiTM Di Hatiku tu pun ciptaan beliau," katanya menerusi hantaran Facebook.
Jenazah Allahyarham disempurnakan di Masjid Al-Ehsan Seksyen 24, Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam pagi Isnin.
Beberapa lagu malar segar pernah dihasilkan Othman antaranya Jauh Di Sudut Hati nyanyian Sudirman, Perpisahan Yang Kau Pinta (Flybaits), Hanya Di Radio (Headwind) dan lain-lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram