SIAR: Sebelum jadi 'CEO Megah Holding', Mustapha Kamal pernah bergelar 'rockstar'


  • Hiburan
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Mustapha Kamal mengekalkan identiti rambut panjang ketika di awal pembabitannya dalam industri seni.

SEBUT sahaja nama Mustapha Kamal, perkara pertama terlintas di fikiran pastinya merujuk kepada watak ‘Papa’ ataupun gelaran Datuk yang dilakonkan di televisyen.

Cukup sinonim dengan gelaran 'CEO Megah Holding', jolokan itu itu bagai terkena 'sumpahan' apabila watak dibawakan sentiasa berkait rapat dengan elemen kemewahan dan kekayaan yang dikatakan bersesuaian dengan identiti pelakon veteran tanah air itu.

Meskipun begitu, satu ketika dahulu anak jati Kota Bharu, Kelantan itu amat digilai para wanita dek kerana wajah tampannya yang dikatakan persis model ‘Pan Asia’.

BACA LAGI: AI wajah palsu artis lebih bahaya daripada mesej ‘nakal’ — Nazrief Nazri

BACA LAGI: 'Jangan anak tirikan mereka', Michael Ang desak pemenang emas Paralimpik dapat habuan sama rata

WhatsApp Image 2024-09-05 at 7.12.44 PM

Mustapha Kamal dikatakan antara pelakon terkacak tanah air satu ketika dahulu.

Bakatnya dalam bidang lakonan tidak perlu dipertikaikan lagi dengan kejayaan merangkul dua Anugerah Bintang-Bintang Popular (ABP) pada 1990 dan 1994, cukup untuk membuktikan betapa Mustapha Kamal selayaknya dijadikan idola generasi kini.

Dalam pada itu, peminat filem tanah air pastinya tidak mengetahui bahawa pelakon filem Mira Edora itu memulakan kerjaya seninya sebagai gitaris sebuah kumpulan muzik tanah air sekitar 1985.

Merupakan pemain gitar kumpulan rock Shock Wave di Kota Bharu, bakatnya cukup disegani apabila kerap menerima jemputan konsert selain pernah membuat persembahan di Pusat Karyaneka Kuala Lumpur sekitar 1985.

Namun, hasrat kumpulan terbabit untuk menghasilkan album pertama mereka tidak kesampaian apabila kugiran itu dibubarkan selepas kesemua ahlinya mendapat pekerjaan tetap yang dikatakan lebih menjamin masa depan ketika itu.

Identitinya yang berambut panjang ketika itu kemudiannya melonjakkan namanya selaku pelakon tanah air menerusi lakonan dalam filem pertamanya, Dendang Remaja pada 1988 arahan Allahyarham Johari Ibrahim.

Bertitik tolak daripada itu, kerjaya seninya terus berkembang mekar apabila menerima banyak tawaran berlakon yang kebanyakannya sebagai watak utama dalam sesebuah naskhah.

Sehingga kini, Mustapha Kamal kekal relevan dalam industri perfileman tanah air walaupun peralihan zaman mula menampilkan artis muka baharu, ia tidak menghalangnya untuk terus menjadi pilihan tuan pengarah serta penonton di panggung.

WhatsApp Image 2024-09-05 at 8.37.51 PM

CEO Megah Holding antara watak kerap dilakonkan Mustapha Kamal.

Walaupun bergelar artis veteran, kemunculannya di kaca televisyen tiada noktahnya apabila kebanyakan watak bapa ataupun golongan VIP, pasti menjadi miliknya.

Terkini, artis kesayangan rakyat Malaysia itu semakin disenangi ramai dan kerap memuat naik video mesra bersama seisi keluarganya di Instagram dan TikTok. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram