[VIDEO] Kes pecah kereta, polis buru 3 suspek lari guna Wira di Kuala Langat


  • 112
  • Ahad, 24 Nov 2024

Tangkap layar tiga suspek cuba memecah masuk sebuah kereta di Kuala Langat, Banting pada Sabtu.

POLIS memburu tiga suspek didakwa cuba memecah masuk sebuah kereta di Banting, Kuala Langat, Selangor pada Sabtu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 9.40 pagi itu menyaksikan pelaku berputih mata apabila gagal mengambil barang daripada kenderaan itu selepas beberapa kali mencuba.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pagi Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] Digilis tayar belakang, bapa 3 anak maut terperosok bawah treler mengundur tiba-tiba di Jalan Kerinchi

BACA LAGI: Tak fikir syurga neraka, warga emas pendendam dicekup 12 jam lepas penemuan mayat tanpa pengenalan diri di Kg Balibata Sabah

"Siasatan mendapati, kejadian berlaku semasa pengadu sedang membeli barang di sebuah kedai perkakasan di Banting.

"Pengadu terdengar bunyi penggera keretanya dan ternampak pintu kereta terbuka, lalu membuat pemeriksaan namun tiada barangan yang hilang.

"Kemudian, pengadu membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai itu dan mendapati tiga lelaki mengumpil pintu keretanya sehingga terbuka sebelum melarikan diri menggunakan dua kenderaan jenis Proton Wira," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Video kejadian meraih perkongsian ramai di laman sosial dengan pihak polis juga turut mengesan video terbabit.

"Siasatan mendapati, pihak kedai terbabit yang membuat hantaran rakaman video dari CCTV itu di media sosial bertujuan agar penduduk di kawasan Banting lebih berwaspada.

"Pihak polis masih giat mengesan semua suspek yang terbabit dalam insiden itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat 03-31872222," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram