PENYANYI rock popular, Bandi Amuk meluahkan kekecewaannya terhadap industri muzik tanah air yang menurutnya, seolah-olah mengabaikan pemuzik sezamannya.
Jelasnya, stesen radio tempatan kini lebih gemar memainkan lagu asing dan gagal memainkan peranan sebagai platform melonjakkan artis negara.
Bandi atau Nashabandi Jumat, 60, berpendapat hal itu lebih kritikal apabila tiada stesen radio yang benar-benar mengetengahkan konsep muzik era 90-an ataupun rock tanah air.
BACA LAGI: GV11 dikecam jatuhkan 'value' artis, ramai kritik Ning Baizura tak sesuai lagu zaman BBNU
Bandi Amuk merupakan antara penyanyi rock tanah air yang kekal relevan sehingga ke hari ini.
“Saya pun kecewa juga bila mana sebuah stesen radio yang pada dasarnya dianggap sebagai saluran khas buat peminat muzik rock dan retro tanah air, gagal mainkan peranan dalam industri.
“Nama sahaja stesen radio rock, klasik tempatan tapi yang banyaknya lagu luar negara dan terkini yang dimainkan, dia tak betul-betul fokus pada penyanyi yang zaman dahulu, contoh sezaman saya pun ramai lagi yang lagunya dah tak dimainkan di radio.
“Saya tak kisah tentang populariti tapi bila situasi macam ini ia tak membuka peluang kepada industri muzik kita untuk berkembang, kalau semua stesen radio asyik main ulang lagu sama, maka tak ke mana la muzik kita,” katanya kepada Majoriti.
Berpengalaman lebih 40 tahun dalam industri negara, Bandi turut meluahkan kerisauannya terhadap kualiti penyanyi generasi baharu ataupun BBNU sekarang yang diibaratkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Jelasnya, kebanyakan penyanyi masa kini hanya berpaksikan pada jumlah pengikut di media sosial semata-mata berbanding bakat.
Menganggap golongan itu banyak dibantu teknologi ‘auto tune’ ketika merakamkan lagu, perkara tersebutnya menurutnya boleh menjatuhkan martabat serta imej industri muzik tanah air di mata pendengar luar negara.
“Kebanyakan penyanyi sekarang suara semua ‘auto tune’, nyanyi sumbang pun tak apa asalkan boleh diperbaiki dalam sistem komputer, bila nyanyi ‘live’ baru tahu suara sebenar macam mana.
“Tapi nak salahkan penyanyi sepenuhnya pun tak boleh, pihak rakaman pun ada yang ambil mudah dan tak pentingkan kualiti tapi populariti semata-mata, bila nyanyi suara sumbang pun dia kata okay boleh ‘tune’ dalam sistem.
“Ini yang merosakkan industri kita sebenarnya, banyak penyanyi sekarang saya bukan nak kata apa tapi kurang berkualiti, bila orang luar tengok negara kita punya muzik dipandang rendah sebabkan hal macam ni,” ujarnya.
Ketika disoal tentang karier muziknya, bekas peserta Gegar Vaganza musim ke-8 itu enggan lagi merakamkan lagu ataupun album baharu dengan alasan ia sudah tidak relevan buat penyanyi sepertinya.
Memiliki lebih 13 album bersama kumpulan Amuk, Bandi menganggarkan keseluruhan karya nyanyiannya sudah melebihi 150 buah lagu.
Jumlah itu dikatakan terlampau banyak dan sudah memadai buatnya untuk dikenali sebagai penyanyi rock tanah air.
“Kalau buat lagu pun dah tak relevan, bukan keluar radio pun dan bukan zaman saya dah nak kejar populariti, cukup la orang masih kenal dan minat lagu saya itu dah bersyukur sangat,” katanya.
Bandi Amuk kini masih bergiat aktif dalam muzik dan banyak membuat persembahan di festival dan program VIP serata negara.
Terbaharu, penyanyi itu baru selesai menghadiri jemputan konsert di serata Sabah dan Sarawak dan sambutan di sana menurutnya cukup menggalakkan daripada peminat setianya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram