BEKAS juara Light Heavyweight UFC, Alex Pereira, 37, baru-baru ini mengadakan siri jelajah ke beberapa buah negara bagi mendekati peminatnya dari serata dunia.
Korea Selatan merupakan antara destinasi terbaharunya dan peninju itu mendapat sambutan hangat daripada peminatnya yang bersorak gembira sebaik tiba di lapangan terbang.
Kehadirannya turut disambut pelakon popular, Ma Dong-seok yang tampil meluangkan masa bersamanya di sebuah pusat rekreasi terkemuka Korea Selatan.
BACA LAGI: Kekal imej bertanjak, Shaukat sudah sebelah kaki ke pentas WWE
Alex Pereira merupakan antara peninju terbaik di peringkat UFC.
Merupakan salah seorang peminat bintang UFC tersebut, pelakon yang pernah membintangi filem Train To Busan dan Eternals itu mencuri tumpuan ramai apabila menewaskan Alex menerusi mesin permainan 'punching machine'.
Alex yang terlebih dahulu memperoleh kutipan sebanyak 8,500 mata, kemudiannya dikejutkan dengan tumbukan padu daripada Dong-seok dengan kiraan lebih tinggi iaitu 9,000.
Ia sekali gus membuktikan betapa pelakon kebanggaan Korea Selatan itu sebenarnya memiliki kekuatan melebihi peninju dunia tersebut.
Perkara itu meraih perkongsian ramai di laman sosial dan rata-ratanya amat mengagumi pelakon yang semakin menempa nama di Hollywod berkenaan.
Dalam pada itu, bintang UFC itu dilaporkan bakal membuat kemunculan di layar perak menerusi filem A24's Onslaught tidak lama lagi.
Naskhah bergenre aksi itu merupakan arahan Adam Wingard yang sebelum ini pernah menghasilkan filem Godzilla vs Kong (2021) selain turut dibintangi beberapa pelakon ternama lain seperti Drew Starkey, Adria Arjona dan Dan Stevens. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram