GITARIS kumpulan Spider, Napie atau nama sebenarnya Hanafi Hamdan, 51, dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor pukul 3 pagi Jumaat.
Jenazah difahamkan akan diuruskan di Masjid Cahaya Iman, Bandar Country Homes, Rawang, Selangor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Country Homes selepas solat Jumaat.
Terkesan dengan pemergian insan seni tanah air itu, vokalis kumpulan Kristal X, Lan Solo antara yang terawal menitip ucapan takziah ekoran perkhabaran sedih tersebut.
BACA LAGI: Anak didik pertama sifu M Nasir, lukisan mural Joey Daud pernah ditempah Sultan Johor
Jelasnya, Allahyarham merupakan antara individu banyak berjasa di awal pembabitan karier muziknya dan juga komposer lagu Resam Pak Belalang pada 2002.
"Al Fatihah, banyak kenangan dalam studio untuk rakaman album pertama dan kedua Kristal di awal kemunculan dulu.
"Selamat jalan bang, moga ditempatkan bersama orang-orang beriman," katanya di laman Facebook pada Jumaat.
Terdahulu, Allahyarham dikejarkan ke hospital selepas mengalami serangan angin ahmar di studio Luncai Emas pada 16 Julai lalu.
Napie yang juga jurutera bunyi di studio milik Datuk M Nasir itu kemudiannya dikatakan berada dalam keadaan sangat lemah selepas menjalani pembedahan otak.
Pada 30 Jun 2021, Spider terlebih dahulu kehilangan bekas pemain bes mereka iaitu Tony Iskandar yang ditemukan meninggal dunia di sebuah studio rakaman dekat Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram