KEMELUT dalaman dihadapi penyanyi Aisha Retno, 24, dan pihak penganjur Kharisma Music International, Yuka Kharisma kian meruncing susulan pembatalan konsert solonya baru-baru ini.
Dipercayai berpunca akibat jualan tiket terlampau rendah, Yuka bagaimanapun menuntut baki wang sebanyak RM77,000 yang dipinjamkan ketika persembahan Anugerah Juara Lagu (AJL) Mac lalu.
Jelasnya, perkara itu dibuat berdasarkan perjanjian di mana konsert yang dibatalkan pada 16 November lalu, sepatutnya menjadi kaedah pembayaran semula jumlah dipinjamkan kepada pelantun lagu Sutera tersebut.
BACA LAGI: Dianiaya rakan? Aisha Retno bersuara punca konsert solo batal saat akhir
Yuka menerusi kenyataan pada Rabu berkata, pinjaman wang tersebut dibuat atas jalinan hubungan baik dengan Aisha dan setakat ini penyanyi itu baru menjelaskan sebanyak RM6,000 daripada jumlah keseluruhan RM83,000.
Terkesan dengan tuntutan tersebut, Aisha menjelaskan pihaknya sedia untuk mengemukakan bukti dan membongkar keadilan berhubung isu berkenaan.
Katanya, dia sudah pun menerima beberapa pelawaan daripada pihak peguam yang mahu membantu menyelesaikan kemelut dihadapi dan menunggu masa sesuai untuk mengambil tindakan.
"Untuk sementara waktu saya mahu fokus kepada karier dan lagu baharu yang akan dilancarkan pada Disember nanti, bukti kukuh dan keadilan akan dibongkar kemudian insya-ALLAH.
"Saya harap yang terbaik buat dia, semoga konsert yang akan datang terjual laris dan harap dia akan jadi penyanyi profesional satu hari nanti yang tak perlu lagi menumpang populariti artis.
"Buat konsert sendiri dan rancang pelan pemasaran dengan baik tanpa menyalahkan mana-mana pihak, semoga yang baik-baik untuk beliau.
"Will I forgive her? Saya akan maafkan tapi adakah ibu bapa dan rakan yang pernah dianiaya beliau boleh maafkan, hanya padang mahsyar yang boleh menjawab," katanya menerusi hantaran InstaStory pada Khamis.
Terdahulu, Kharisma Music International memaklumkan Konsert Malam Samudera Aisha Retno yang dijadualkan pada 16 November, dibatalkan atas faktor jualan tiket tidak memberangsangkan.
Susulan itu, Aisha meluahkan rasa kesal dengan tindakan penganjur yang didakwa membuat keputusan tanpa memaklumkan kepada dirinya terlebih dahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram