Pelakon suara Sang Tupai siap pergi zoo tiru pergerakan haiwan, jayakan filem Dongeng: Sang Kancil


  • Hiburan
  • Jumaat, 22 Nov 2024

Keng Sun merupakan salah seorang pelakon suara latar filem animasi Dongeng Sang Kancil.

FILEM animasi tempatan semakin mendapat tempat di hati penonton dengan beberapa naskhah mula mencipta nama di peringkat global.

Satu ketika dahulu, masyarakat sering disajikan karya Hollywood yang menjadi kegilaan kanak-kanak namun, kemajuan teknologi kini melihatkan perubahan ketara apabila Malaysia turut memiliki kepakaran pembikinan kartun animasi 3D.

Terbaharu, Les’ Copaque Production (Les’ Copaque) bakal menerbitkan sebuah filem animasi Dongeng Sang Kancil yang dijadual ditayangkan pada 26 Disember kelak.

BACA LAGI: SIAR: Bukan sekadar pelawak, pencak silat Ebby Yus pernah julang filem peringkat Asia

BACA LAGI: Kekal imej bertanjak, Shaukat sudah sebelah kaki ke pentas WWE

Pengarah animasi, Loke Keng Sun, 40, menjelaskan bahawa filem itu merupakan naskhah adaptasi daripada kisah dongeng popular kanak-kanak yang diberi nafas serta versi baharu.

Merupakan salah seorang pelakon suara latar kepada watak Sang Tupai dalam filem itu, Keng Sun berkongsi beberapa cabaran dihadapi sepanjang menghasilkan karya tersebut.

photo_2024-11-20_22-44-54

Keng Sun merupakan pelakon suara latar kepada watak Sang Tupai.

“Tak mudah untuk menjadi pelakon suara latar, kena fahamkan jalan cerita dan jaga suara itu yang paling penting.

“Setiap adegan dilakonkan secara sendirian, kami tak berdialog secara bersemuka dengan pelakon-pelakon lain jadi memang kena fokus pada setiap babak dengan intonasi yang berbeza-beza.

“Sebelum penggambaran dimulakan, semua pelakon suara latar dibawa ke Zoo Negara untuk mendalami dan mengkaji haiwan yang bakal dilakonkan, tiru pergerakan dia supaya nampak asli bila jadi pelakon suara.

“Dari situ baru tahu apa karakter haiwan untuk diterjemahkan dalam lakonan, baru cerita pun jadi menarik dan nampak macam betul bila di pawagam walaupun ia sekadar animasi 3D,” katanya kepada Majoriti.

Bercerita lanjut soal kerjaya sebagai pelakon suara latar animasi, jelas Keng Sun, sangat sukar untuk mencari bakat baharu yang semula jadi dan tidak dibuat-buat ketika ini.

Katanya, kebanyakan individu yang berminat menceburi bidang ini terlampau dibayangi watak sedia ada dan tidak menampilkan kelainan tersendiri.

“Les’ Copaque sebelum ini pernah buat pencarian bakat baharu tapi sayangnya ramai yang datang buat suara watak yang dah ada macam Upin Ipin, Jarjit, Mei Mei, itu semua kita dah pernah dengar.

“Ada yang datang buat suara kartun perempuan tapi sebenarnya dia lelaki, jadi susah la sebab kebanyakan pelakon sedia ada akan kekal dalam jangka masa panjang, kalau ia terlampau dibuat-buat susah untuk kita kekalkan untuk projek akan datang.

“Sebab itu kami lebih cenderung untuk gunakan suara latar dari staf sendiri, bukan tak nak beri peluang bakat baharu tapi atas faktor bakat dan fleksibel kerja seseorang itu yang membuatkan kami terpaksa dahulukan orang sini,” tambahnya.

photo_2024-11-20_22-44-49

Keng Sun juga berperanan sebagai pengarah animasi di Les' Copaque.

Merupakan pengalaman kali kedua sebagai pelakon suara latar selepas siri Pada Zaman Dahulu (2011), Keng Sun menganggap kepakaran dan tenaga kerja dimiliki di Les’ Copaque sudah mencukupi untuk menghasilkan filem animasi berskala besar dengan kualiti terbaik.

Mengambil masa lebih kurang setahun, sembilan bulan menyiapkan filem Dongeng Sang Kancil, ia merupakan antara karya tercepat dihasilkan syarikat tersebut sejak mula menceburi industri animasi negara pada 2009.

Malah, Keng Sun turut mendedahkan pihaknya turut merancang untuk menubuhkan sebuah platform akademi suara latar tidak lama lagi dengan harapan ia dapat menyumbang kepada perkembangan perfileman animasi negara suatu hari nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram