SIAR: Bukan sekadar pelawak, pencak silat Ebby Yus pernah julang filem peringkat Asia


  • Hiburan
  • Selasa, 19 Nov 2024

Ebby Yus merupakan antara pelakon veteran popular negara.

MULA berkecimpung dalam dunia hiburan tempatan pada era 80an, pelakon otai Ebby Yus, 59, kini lebih dikenali sebagai pelawak dalam kalangan generasi muda.

Namun, tahukah anda bahawa anak kelahiran Jempol, Negeri Sembilan ini lebih terkenal sebagai watak pendekar dan antagonis di awal pembabitannya satu ketika dahulu.

Bakatnya mula digilap selepas menyertai satu uji bakat Asas Tarian di Kompleks Budaya Negara pada 1983.

BACA LAGI: SIAR: Sebelum jadi 'CEO Megah Holding', Mustapha Kamal pernah bergelar 'rockstar'

BACA LAGI: SIAR: Ada darah 'mix', pelakon popular Singapura-Indonesia raih populariti filem Melayu retro

Bermula detik itu, Ebby ditawarkan beberapa buah drama yang kemudiannya berjaya mengangkat pelakon berkulit hitam manis ini ke pentas perfileman tanah air.

New-Project-3-52

Ebby Yus lebih dikenali sebagai pelawak dalam kalangan generasi muda.

Di awal pembabitannya, Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid kerap tampil sebagai watak pendekar dek kerana kebolehannya dalam ilmu persilatan dan pertahan diri itu.

Tiga filem lakonan Ebby satu ketika dahulu pernah mencetuskan fenomena dan rata-ratanya berkonsepkan pahlawan Melayu.

1. Tuah

Filem pertamanya, Tuah (1988) menyaksikan Ebby memegang peranan sebagai salah seorang pendekar kesultanan Melaka iaitu Hang Kasturi.

Mengisahkan perjuangan pendekar Hang Tuah menentang penjajah, naskhah arahan Anwardi Jamil Sulong ini berjaya memenangi Anugerah Khas Juri di Festival Filem Asia Pasifik ke-34 di Jakarta, Indonesia pada 1989.

Ebby yang ketika itu baru berusia 23 tahun, terus mendapat kepercayaan pengarah untuk melakonkan beberapa adegan tempur silat yang umumnya dilakukan individu lebih berpengalaman.

Meskipun sekadar memegang peranan sampingan, kebolehan Ebby beraksi di gelanggang silat terserlah apabila banyak melakonkan babak aksi dan menentang penjahat.

2. Keris Hitam Bersepur Emas

Merupakan antara naskhah agung yang mengangkat seni persilatan melayu di kaca televisyen, drama siri Keris Hitam Bersepur Emas menonjolkan sisi berbeza Ebby sebagai pahlawan.

Bersiaran lebih 12 tahun sejak 1998 hingga 2002, Ebby memainkan peranan sebagai watak utama di samping pelakon Eman Manan yang juga terkenal dengan imej sebagai seorang pesilat.

Babak aksi dan pertempuran Ebby menentang Eman Manan kekal diingati sehingga ke hari ini dengan kelincahan ditunjukkan mampu memukau penonton tanpa mengira peringkat usia.

Difahamkan, sebahagian besar adegan tempur dilakukan tanpa khidmat pelakon lagak aksi ‘stuntman’ dan gerakan seni silat ditampilkan adalah hasil ciptaan kedua-dua pelakon tersebut.

3. Amok

Lakonan mantap Ebby menerusi Keris Hitam Bersepur Emas melonjakkan namanya sebagai antara pelakon hebat yang berkebolehan memainkan watak pesilat.

Kariernya terus berkembang apabila ditawarkan membintangi filem Amok (1995) karya Adman Salleh yang juga mengetengahkan elemen seni silat dalam plot penceritaannya.

Meskipun bukan pelakon utama, penampilan Ebby dalam filem tersebut tidak kurang hebatnya apabila masih memainkan peranan dalam aksi tempur membabitkan beberapa adegan.

Dibintangi pelakon utama iaitu Nasir Bilal Khan dan Ramona Rahman, naskhah itu pernah diharamkan di Malaysia atas faktor beberapa babak yang terlalu menyentuh sensitiviti sosial dan pergaulan bebas.

Namun, ia kembali ditayangkan selepas menjalani beberapa suntingan mengikut garis panduan Lembaga Penapisan Filem (LPF). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram