PERKEMBANGAN teknologi masa kini semakin memihak kepada generasi baharu khususnya golongan pempengaruh yang kreatif mencipta kandungan video di media sosial.
Buktinya, beberapa syarikat ataupun jenama besar mula menggunakan khidmat video pengiklanan daripada golongan itu yang juga berkelebihan dari segi jumlah pengikut ramai.
Meskipun sekadar video pendek di media sosial, siapa sangka jumlah bayaran diberi cukup tinggi dan menelan kos lebih puluhan ribu ringgit.
BACA LAGI: Terima jemputan VIP, Joe Flizzow dedah ‘kabel’ heret Speed jumpa TMJ
BACA LAGI: [VIDEO] 'Influencer' terkenal, Speed nyaris kemalangan ketika lawat KL
Namun, sikap segelintir pempengaruh yang mengenakan cas harga terlampau murah dikatakan telah merosakkan pasaran pengiklanan dalam kalangan pencipta kandungan digital.
YouTuber popular dikenali sebagai Mr Kokom mendedahkan perkara itu yang menurutnya, industri kini semakin mengambil kesempatan dan meletakkan harga terlampau rendah untuk sebuah video pengiklanan.
"Kenapa ramai terkejut bila ada influencer dibayar satu video 30k?. Korang tak tahu ke pasaran iklan sebelum muncul influencer ialah antara 100-300k satu video.
"Kami pernah cas 200k dulu untuk beberapa video. Satu video 50K pun ada. Influencer baru je yang cas satu video RM80.
"Tu ramai syarikat ambik kesempatan review percuma. Tapi jangan shoot pakai telefon la nak harga camtu," ujarnya menerusi hantaran di Thread pada Isnin.
Tambahnya, hal itu sekali gus menyebabkan banyak syarikat tertipu dengan harga rendah selain kualiti video dihasilkan juga kurang memuaskan.
Sebagai pengarah video profesional, Mr Kokom turut menyatakan perbezaan dari segi kualiti dan nilai komersial yang tidak dimiliki golongan pempengaruh.
"Filem pendek yang berkualiti. Most influencer tak boleh buat. Kebanyakan mereka bermain sketch. Atau quality commercial at lower price than agency. Atau ajar orang apa yang orang lain tak boleh ajar," katanya.
Untuk rekod, Mr Kokom merupakan antara personaliti media sosial terawal bergiat aktif sebagai YouTuber sejak 2017.
Memiliki syarikat pengiklanan iaitu Cocombee Studio, dia juga banyak menghasilkan video podcast dan filem pendek bertemakan keagamaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram