Dianiaya rakan? Aisha Retno bersuara punca konsert solo batal saat akhir


  • Hiburan
  • Sabtu, 09 Nov 2024

Konsert solo Aisha Retno dibatalkan ekoran jualan tiket yang dikatakan terlalu rendah.

KONSERT solo penyanyi meningkat naik, Aisha Retno, 24, terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir ekoran jualan tiket yang dikatakan terlalu rendah.

Dijadualkan berlangsung pada 16 November depan, pihak penganjur Kharisma Music International memutuskan untuk tidak menunda konsert berkenaan ke satu tarikh lain dan proses pemulangan wang akan dilakukan dalam masa terdekat.

BACA LAGI: ‘Penyanyi sekarang banyak auto tune’, Bandi Amuk kecewa industri tiada kualiti, stesen radio kerap putar lagu asing

BACA LAGI: Hilang selepas lagu Amalina 'meletup', Santesh kembali hasilkan lagu Melayu duet bersama Faizal Tahir dan UNIC

"Dukacita dimaklumkan bahawa konsert Aisha Retno Malam Sutera dibatalkan kerana faktor jualan tiket perlahan.

"Kami dengan rendah hati ingin memohon maaf atas kesulitan yang berlaku. Ia juga bukan satu keputusan mudah buat kami.

"Oleh itu, Ticket2U sudah menghantar emel kepada pembeli untuk proses bayaran balik penuh. Pemulangan wang akan dilakukan dalam masa tujuh ke 14 hari bekerja,“ katanya menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu.

Sementara itu, perkongsian Aisha di laman sosial peribadinya mendedahkan seolah-olah dirinya dianiaya oleh kenalan rapatnya sendiri.

photo_2024-11-09_19-02-02

Hantaran InstaStory Aisha Retno berhubung pembatalan konsert solonya.

Menganggap ia sebagai cabaran bergelar anak seni, Aisha menjelaskan hal itu telah mengakibatkan dirinya bermusuhan dengan kawan yang dianggap seperti kakaknya sendiri.

"Nanti ku ceritakan semuanya ya sayang semua, jalan terus walaupun sakit.

"Tak sangka orang yang dahulunya kita percaya dan banyak bergantung harap macam kakak sendiri, kini dah jadi musuh, semoga ALLAH sentiasa bersama kita," ciapnya menerusi InstaStory.

Terdahulu, Aisha menerusi lagu ciptaannya Sutera berjaya meraih gelaran naib juara Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-38 menewaskan nama-nama besar lain seperti Ernie Zakri, Khai Bahar dan Wany Hasrita.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram