BARISAN finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 telah pun diketahui yang mana kebanyakan lagu didominasi genre balada.
Sebanyak 10 buah lagu berjaya lolos ke peringkat akhir hasil pemarkahan barisan juri diketuai komposer terkenal, Edry Abdul Halim, Datuk Mokhzani Ismail, Efry Arwis, LY, Helen Yap dan AD Samad.
Mendapat maklum balas positif dalam kalangan peminat, pengacara dan penyampai radio popular tanah air, Datuk Aznil Hj Nawawi, 62, turut tidak ketinggalan memuji kesemua persembahan penyanyi pada peringkat separuh akhir Muzik-Muzik Sabtu lalu.
Tumpang gembira atas kejayaan 10 buah lagu yang layak ke AJL39, Aznil berbangga apabila kebanyakan daripadanya terdiri daripada bekas peserta Akademi Fantasia.
Merupakan salah seorang hos tetap program realiti tersebut, Aznil tegas menolak dakwaan segelintir pihak yang menganggap program itu gagal menghasilkan penyanyi berkualiti.
Aznil merupakan antara hos yang pernah mengendalikan program realiti Akademi Fantasia.
"Apabila orang kata kelahiran Akademi Fantasia (AF) ni macam 'mi segera', ni enam daripada 10 penyertaan adalah alumni AF.
"Sebagai bekas hos AF saya rasa bangga juga la," katanya menerusi hantaran di Threads.
Dalam 10 senarai lagu itu, enam daripadanya merupakan bekas alumni AF iaitu Amir Masdi, Akim & The Majistret, Aisyah Aziz, Hafiz Suip, Marsha Milan dan Hael Husaini.
Ia sekali gus membuktikan betapa program realiti terbitan Astro itu merupakan antara penyumbang bakat buat industri muzik tanah air.
Terdahulu, rata-rata karya generasi baharu BBNU dikatakan gagal menembusi peringkat akhir AJL39 ekoran kekurangan daya saing yang kuat berbanding artis lain.
Edry selaku ketua juri sebelum ini menjelaskan, kesemua lagu dipilih adalah berdasarkan kualiti persembahan dan nyanyian di pentas dilakukan dengan teliti bagi memastikan setiap kategori muzik seperti balada, pop dan hip hop mempunyai wakil.
AJL39 dijadual berlangsung awal tahun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur namun, tarikh rasminya belum diumumkan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram