MENJELANG saingan separuh akhir Muzik-Muzik ke-39 pada Khamis, peminat sudah tidak sabar menyaksikan persembahan hebat daripada kesemua 30 penyanyi tercalon.
Paling mencuri perhatian pastinya kehadiran pendatang baharu, Zubir Khan yang bakal tampil dengan dua karya berbahasa Tamil iaitu Yennode Macha dan lagu duet Oh my Kadhale (OMK) bersama Ezra Kairo.
Merupakan kali pertama lagu berbahasa Tamil tercalon ke separuh akhir, Zubir Khan menjadi pilihan ramai yang mahu menyaksikan lagunya terus mencatat sejarah ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-39 kelak.
BACA LAGI: Dulu Apa Celop Toq kini Oh! Makcik, satira sinikal jadi 'makanan' Taiyuddin Bakar bersama Uncure
Meskipun baru berusia 24 tahun, Zubir atau nama sebenarnya, Muhammad Zubir Mohamad Ali mencipta rekod peribadi tersendiri apabila hampir kesemua lagu bahasa Tamil ciptaannya, mencatat jutaan tontonan di YouTube.
Pencalonan dua lagu tersebut hangat diperkatakan di laman sosial dan rata-ratanya menyuarakan sokongan penuh terhadap karya berbahasa Tamil itu.
"AJL akan memilih kelainan dan menjadi saingan sengit antara 10 lagu, pilihan genre berbeza pasti jadi pilihan bagi memeriahkan saingan peringkat akhir.
"Adakah lagu Tamil Zubir Khan akan jadi karya pertama yang akan memasuki final dan mengungguli top 3, bermakna sejarah akan tercipta di AJL apabila lagu Tamil pertama layak ke final," kata Al hamdulillah Al hamdulillah.
"Kali ni kita akan tengok lagu Tamil yang mengungguli pentas akhir AJL, tak salah kalau beri peluang pada bakat baharu, Zubir Khan dengan Ezra akan layak lagu OMK," ujar Faliq Juan.
"Lagu Tamil akan mara ke pentas akhir AJL39, tengok jela nanti," tambah Fique Ryan.
Zubir Khan berkebolehan bertutur dan menghasilkan lagu berbahasa Tamil.
Separuh akhir Muzik-Muzik 39 turut menampilkan beberapa lagi penyanyi baharu antaranya Usop menerusi lagu Gelora, Eira Milpan (Retak Hatiku), Nadeera Zaini (Bukan Lagi Kita) dan Fahimi Rahmat (Angau).
Untuk rekod, lagu Hasrat nyanyian Amir Jahari mencipta kejutan apabila muncul juara AJL edisi lalu menewaskan pencabar terdekatnya, Aisha Retno di tempat kedua dan Aina Abdul sekadar berpuas hati di kedudukan ketiga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram