'Tanpa sedar kumpul dosa setiap hari', Watie pertahan suami, dedah Shuib tak ambil gaji sejak bertahun lamanya


  • Hiburan
  • Rabu, 13 Nov 2024

Watie (kiri) mendedahkan suaminya terpaksa membelanjakan duit poket sendiri demi membayar gaji pekerjanya.

PELAWAK dan pelakon popular, Shuib mendakwa dirinya difitnah menunaikan ibadah Umrah menggunakan duit Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) seperti yang tular di laman sosial.

Ia susulan tujuh pertuduhan dihadapinya termasuk tunggakan caruman PERKESO yang mengakibatkan dia didenda sebanyak RM17,500 oleh mahkamah pada Isnin.

Tampil memberikan penjelasan, isterinya Watie, 35, atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanafiah mendedahkan suaminya terpaksa mengeluarkan wang perbelanjaan sendiri demi melangsaikan gaji pekerjanya.

BACA LAGI: Kecewa industri komik tak laku, kartunis Ujang gesa saluran TV khas buat pelukis komik animasi

BACA LAGI: Anak didik pertama sifu M Nasir, lukisan mural Joey Daud pernah ditempah Sultan Johor

"Dia bertahun tak ambil gaji. Setiap bulan ‘top up’ duit poket sendiri lagi untuk bayar gaji staf.

"Pengurusan lama yang bermasalah, tapi hujung-hujung dia yang difitnah begini, semoga suamiku diberi ketabahan, insya-ALLAH dia tahu halal dan haram," katanya menerusi InstaStory pada Rabu.

6170445692028437349

Hantaran InstaStory Watie berhubung tuduhan fitnah dilempar terhadap suaminya.

Sementara itu, Watie dalam hantaran berasingan turut menitip pesanan buat warganet yang sewenang-wenangnya menuduh tanpa usul periksa sehingga sanggup sebar berita palsu.

Perbuatan sedemikian menurutnya, sekadar mengumpul dosa kerana semua berita yang disebar adalah tidak benar sama sekali.

"Tak semua cerita yang menjadi tajuk utama adalah benar, kita tak ada dalam dunia mereka jadi kita tak akan pernah tahu cerita sebenar.

"Tapi pernah tak kita fikir, kita hentam mereka, fitnah apa kesan yang kita bagi pada mereka, emosi, mental mereka?

"Dan kita tanpa sedar mengumpul dosa setiap hari," ujarnya.

Akur dengan segala ujian melanda suaminya, Watie menyifatkan Shuib sebagai seorang suami yang cukup hebat kerana diuji dengan dugaan seberat itu.

Pasangan dua sejoli itu kini difahamkan sedang menunaikan ibadah Umrah dan perkongsian Shuib baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila berpeluang mengucup Multazam di kota Makkah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram