PEMINAT drama Gerak Khas pastinya tidak asing dengan lakonan Datuk Shaharon Anuar, 62, yang cukup berkesan dalam naskhah kepolisan tempatan.
Buat mereka yang belum mengetahui, anak kelahiran Taiping, Perak itu sememangnya memegang status sebagai pegawai polis dengan jawatan terakhirnya sebagai Ketua Jabatan Pengurusan Kontinjen Kuala Lumpur pada 2022.
Namun, penampilan beliau lebih dikenali dalam kalangan peminat filem menerusi lakonannya yang mula dikesan pengarah dan pelakon tersohor negara, Datuk Yusof Haslam pada 1993.
Mula bertapak dalam dunia seni dalam iklan komersial Toyota pada 1989, Shaharon kemudiannya ditawarkan sebagai tunjang utama bagi filem terbitan Skop Production Sdn Bhd iaitu Pemburu Bayang.
Bermula detik itu, kariernya semakin berkembang maju sehingga diangkat sebagai salah seorang penulis skrip dalam syarikat produksi filem tersebut.
Shaharon Anuar pernah digandingkan bersama pelakon Erra Fazira menerusi drama siri Gerak Khas.
Lebih 40 tahun menabur bakti bersama sang saka biru, Shaharon baru-baru ini mendedahkan gaji permulaannya hanya sebanyak RM620 ketika mula menjalani latihan bersama Pusat Latihan Polis Malaysia (PULAPOL).
"Alhamdulillah. Demi masa yang terlalu cepat berlalu. Dah 40 tahun ulang tahun bersama seragam biru, menabur bakti demi pertiwi. Gaji mula RM620 dan majoriti semua dah bersara.
"Tinggal seorang dua lagi yang masih berkhidmat dan ada yang meninggal dunia, ada yang sakit, ada yang sihat. Apapun, Al hamdulillah syukur atas segala kurniaan ALLAH jua," katanya di laman Facebook pada Selasa lalu.
Selang tahun silih berganti, identitinya lebih dikenali sebagai Asisten Superintendan (ASP) Saiful menerusi lakonannya dalam beberapa siri drama dan filem Gerak Khas.
Memiliki keperibadian yang tegas, berdisiplin dan bertanggungjawab, lakonannya dikatakan seolah-olah menggambarkan keperibadian sebenar Shaharon di dunia nyata yang cukup dihormati anggota bawahannya.
Titik permulaan beliau sebagai pelakon bermula ketika berkhidmat di Cawangan Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Ditugaskan untuk menyemak skrip-skrip drama dan filem kepolisan, beliau sentiasa berada di lokasi penggambaran sebagai Penasihat Teknikal Kepolisan yang sekali gus membuatkan dirinya ditawarkan peranan oleh Datuk Yusof Haslam.
Lakonannya yang mula mencetuskan impak di dunia perfileman tanah air, kemudiannya melonjakkan kariernya sebagai penyampai radio menerusi segmen 'Polis Dan Anda' yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 2017.
Komited dalam tugas selaku anggota PDRM, pencapaian Shaharon berada di kemuncak apabila meraih Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali dan beberapa penganugerahan pingat antaranya Pingat Ahli Mangku Negara (AMN), Pingat Pahlawan Sukan Polis (PPP), Pingat Setia Mahkota Pahang (SMP) dan Pingat Pahlawan Gagah Pasukan Polis (PGPP). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram