PENAMPILAN sulung Aizat Amdan, 35, di gelanggang seni bela diri Muay Thai melonjakkan karier muziknya di tahap berbeza menerusi buah tangan terbaharu berjudul Tegap Berdiri.
Jelas anak jati Kuala Lumpur itu, inspirasi pembuatan lagu itu terhasil secara spontan ketika sedang menjalankan sesi rakaman podcast bersama abangnya.
Membincangkan peristiwa di era kegemilangan bola sepak Malaysia sekitar 1998, lirik 'walaupun anda kalah, anda tetap berdiri tegak' menjadi permulaan idea tercetusnya lagu Tegap Berdiri.
BACA LAGI: Lebih setahun 'simpan kuku', penyanyi Aizat Amdan bakal bertarung sukan Muay Thai
BACA LAGI: Aktif di TikTok, guru silat mahu 'bersihkan' imej seni bela diri Melayu, tarik minat semua bangsa
Aizat mula menjalani latihan seni bela diri Muay Thai sejak September lalu.
"Lagu ini membawa mesej yang kuat tentang daya tahan.
"Hidup adalah perjalanan yang penuh dengan kemenangan dan kekalahan dan lumrah manusia untuk berdepan suka dan duka. Apa yang penting adalah untuk kita terus bergerak ke hadapan dengan pemikiran yang positif," katanya.
"Kali ini, saya meneroka genre pop yang diselitkan dengan elemen 'City Pop,' yang mula popular pada era 80-an di Jepun dan Malaysia. Saya cipta versi saya sendiri yang saya namakan 'KL-City Pop'," katanya.
Mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan lagu tersebut, penglibatan Aizat dalam sukan Muay Thai baru-baru ini memainkan peranan penting dalam karya tersebut.
Muzik video dihasilkan turut dihasilkan secara kreatif dengan beberapa plot penceritaannya diambil dari pengalaman beraksi di gelanggang Muay Thai.
"Muzik video ini mengisahkan perjalanan saya ke dalam Muay Thai, daripada sesi latihan biasa hingga pertarungan pertama saya. Walaupun ia mungkin kelihatan mudah, realitinya sukan dipenuhi dengan kerja keras dan keazaman yang menguji kekuatan fizikal serta mental.
"Saya berusaha untuk menjadi diri saya yang sebenar, versi saya yang paling tulen. Saya seronok mendedahkan sisi berbeza Aizat Amdan kerana semua yang saya lakukan adalah atas nama seni.
"Harapan saya buat pendengar, lagu ini sesuai untuk rutin senaman anda sama ada di rumah atau di gim, ingatlah untuk sentiasa mencabar diri anda setiap hari dengan pengalaman baharu, walau jatuh sekali pun, bangkit semula dan terus berdiri tegak," katanya.
Untuk rekod, Aizat pernah menjulang trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi lagu Pergi pada 2009 selain turut dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pada 2009 dan 2015. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram