Didakwa gagal bayar cukai RM1.6 juta, Shuib syukur isteri setia, sanggup puasa sunat doa dipermudah urusan


  • Hiburan
  • Khamis, 14 Nov 2024

Shuib bersyukur kerana sentiasa ditemani isteri tercinta walau berdepan apa jua situasi.

"SYUKUR ada peneman hari ini". Demikian kenyataan dibuat pelawak dan usahawan popular, Shuib, 40, usai kes dakwaan mahkamah atas 18 pertuduhan gagal membayar cukai berjumlah RM1.6 juta kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Bekas penyampai radio itu meluahkan rasa syukur kerana sentiasa ditemani isterinya, Watie, 35, walau berdepan apa jua situasi.

Hadir bersama di Mahkamah Sesyen, Shah Alam, Selangor pada Khamis, Shuib mendedahkan isterinya turut berpuasa sunat demi mendapatkan keberkatan dan mendoakan agar urusannya dipermudahkan.

BACA LAGI: 'Tanpa sedar kumpul dosa setiap hari', Watie pertahan suami, dedah Shuib tak ambil gaji sejak bertahun lamanya

BACA LAGI: Anak didik pertama sifu M Nasir, lukisan mural Joey Daud pernah ditempah Sultan Johor

"Semoga ALLAH permudah urusan, tapi pastinya ia satu pelajaran dan juga ujian dalam kehidupan.

"Hari ini Mummy puasa sunat katanya, bila ditanya eh kenapa puasa sunat? diet ke?

"Mummy jawab taklah, puasa sunat nak mintak kat ALLAH semoga dipermudahkan urusan suami hari ini," katanya menerusi hantaran Instagram.

Terdahulu, syarikat Bubblebee Sdn Bhd yang diwakili Shuib dan Koh Choon Guan, 33, selaku orang kena saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Rasyihah Ghazali.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(8) akta itu, yang memperuntukkan hukuman denda RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada Isnin lalu, kedua-dua individu itu didenda sebanyak RM17,500 oleh Mahkamah Majistret atas tujuh pertuduhan termasuk tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram