PEMPENGARUH popular, Khairul Aming sememangnya antara individu disegani dalam kalangan pengguna media sosial susulan kualiti dan kreativitinya dalam menghasilkan video.
Mempunyai jumlah pengikut melebihi sembilan juta di laman Instagram dan Tiktok, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu juga terkenal dengan perwatakan peramah dan mesra bersama peminatnya.
Hal itu dikongsikan seorang pengembara yang juga merupakan pempengaruh meningkat naik, Muaz Aziz di laman Facebook pada Sabtu.
BACA LAGI: Bermula gaji RM600 di PULAPOL, bakat lakonan DSP Shaharom Anuar menyinar digilap Skop Production
Merupakan pertemuan kali pertama dengan Khairul Aming, Muaz menganggap ia sebagai sesi perkongsian yang cukup bermanfaat buatnya untuk terus menghasilkan kandungan video berkualiti.

Muaz Aziz (kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Khairul Aming baru-baru ini.
Jelasnya, beberapa tip dan rahsia kejayaan Khairul Aming perlu dijadikan amalan oleh mana-mana pencipta kandungan di luar sana.
"Dahsyat dia punya team dan perancangan dia, memang tak terkejar. Apa yang ada nampak di internet, itulah dia bila depan-depan, bercakap lembut, idea macam-macam dan tak sombong.
"Antara perkongsian malam tadi menyembang dengan Khairul aming, pertama, content video itu perlu, tapi sesi live mesti untuk jualan. Kedua, mula dengan apa yang ada, jangan tunggu dah cukup baru nak bergerak.
"Ketiga, kolaborasi untuk terbang lebih tinggi dan jangan buat sesuatu hanya sebab duit," katanya.
Dalam pada itu, perkongsian hantaran itu turut mendedahkan dua platform media sosial yang dimiliki Khairul Aming iaitu Instagram dan TikTok.
Jelas pemenang Anugerah TikTok 2023 itu, dua laman sosial itu paling ramai digunakan dan paling popular di kalangan golongan orang muda.
"Kami yang muda-muda ni Instagram dengan Tiktok je bang," ujarnya.
Terdahulu, Khairul Aming yang terkenal dengan produk Sambal Nyet serta Daging Dendeng itu kini sedang sibuk menghasilkan video pengembaraan di Oman.
Kedua-dua produk keluarannya itu berjaya dibawa ke luar negara sekali gus membuktikan betapa jenama tempatan juga mampu berkembang maju di peringkat global. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
