PENANGKAPAN enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi wanita Kelantan pada 1 November lepas bukan perkara yang sengaja dirancang.
Ketua Polis Sungai Golok, Jedsadavit Ingprapan berkata, serbuan dan tangkapan dibuat adalah berdasarkan siasatan serta maklumat risikan dijalankan.
"Sebelum membuat tangkapan, kami menjalankan siasatan dan mengikut prosedur. Ini termasuk menghantar dadah ke makmal dan mengumpul cap jari," katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Keris makan tuan, lelaki Bugis hilang nyawa tertusuk senjata ketika upacara sambut pengantin
Jedsadavit menambah, polis kini sedang menunggu laporan forensik kimia dan pengecaman cap jari yang ditemui pada dadah yang dirampas.
Seorang penyanyi dikir barat moden Kelantan antara enam rakyat Malaysia yang ditahan di sebuah hotel di Thailand pada 1 November lalu.
"Siasatan akan mengambil masa kira-kira sebulan. Tidak kira siapa, kami akan menjalankan siasatan yang sama tanpa layanan istimewa kepada artis atau selebriti," katanya pada Sabtu.
Jedsadavit menambah bahawa orang ramai boleh membuat andaian dan tuduhan tetapi polis bertindak mengikut risikan dan prosedur.
Kenyataan itu dibuat susulan dakwaan bahawa serbuan dan penahanan enam individu itu telah pun dirancang awal.
"Ketika tangkapan dibuat, pegawai dan anggota polis bahagian narkotik tidak mengetahui ada artis terkenal di dalam bilik itu. Pemeriksaan di bilik hotel menemui 6,000 pil Yaba disorokkan di dalam bilik air," katanya.
Beliau turut menafikan dakwaan terdapat dua individu yang melarikan diri sebelum serbuan dilakukan seperti yang dimaklumkan oleh ahli keluarga mangsa.
Mengenai siasatan ke atas enam yang ditahan di penjara Narathiwat, beliau menyatakan sedang menunggu laporan forensik, keputusan ujian cap jari ke atas bungkusan dadah dan bukti penemuan lain.
Setelah laporan diterima, ia akan diserahkan kepada mahkamah untuk tindakan selanjutnya.
"Saya menjangkakan keputusan ujian boleh didapati dalam tempoh sebulan. Kesemua enam tahanan yang kini ditahan reman di penjara Narathiwat, tidak dibenarkan diikat jamin buat masa ini.
"Kami telah merakam percakapan dan pengakuan mereka yang akan digunakan di mahkamah," tambahnya.
Tambahnya, undang-undang dadah baharu Thailand telah berubah dengan rampasan lebih daripada satu pil Yaba dianggap untuk tujuan pengedaran.
Terdahulu, seramai enam rakyat Malaysia ditahan di sebuah hotel berhampiran Sungai Golok kerana didakwa memiliki dadah pada 1 November lalu.
Antara enam yang ditahan ialah seorang penyanyi dikir popular dari Kelantan.
Selain daripada kesalahan dadah, suspek juga disiasat kerana didakwa memasuki Thailand tanpa dokumen yang sah. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram