Ramalan cuaca Monsun Timur Laut punca konsert Rock Warrior Music Festival ditunda ke Mei 2025


  • Hiburan
  • Isnin, 11 Nov 2024

Konsert Rock Warrior Music Festival ditunda ke Mei 2025 atas faktor cuaca hujan lebat dan banjir.

KURANG dua minggu sebelum Rock Warrior Music Festival dijadual berlangsung, konsert yang menghimpunkan beberapa kumpulan penyanyi otai negara itu terpaksa ditunda ke tahun depan.

Konsert yang sepatutnya berlangsung pada 23 dan 24 November di KL Base, Sungai Besi, Kuala Lumpur itu ditunda ke Mei 2025 atas faktor ramalan cuaca yang kemungkinan hujan lebat dan banjir di kawasan tersebut.

Perkara itu diumumkan oleh syarikat Rumah Produksi Merah Sdn Bhd yang menjelaskan, Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula pada awal November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.

BACA LAGI: Komuniti hackers dedah lagu AI Qween Fatima hina agama, Mufti Kelantan desak Fahmi Fadzil ambil tindakan segera

BACA LAGI: GV11 dikecam jatuhkan 'value' artis, ramai kritik Ning Baizura tak sesuai lagu zaman BBNU

"Sebagai penganjur, keselamatan para peminat dan kelancaran festival adalah keutamaan kami. Selain daripada itu, kami juga berhasrat untuk menjaga sensitiviti terhadap masyarakat, khususnya mereka yang terkesan akibat bencana banjir.

"Penjadualan semula ke Mei 2025 ini memberi kami peluang untuk membuat persiapan yang lebih menyeluruh, dengan harapan dapat menawarkan pengalaman festival yang lebih baik dan memuaskan dalam keadaan cuaca yang lebih sesuai.

"Kami memohon maaf atas sebarang kesulitan yang mungkin timbul akibat penundaan ini dan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang diberikan. Semua pembelian tiket yang telah dibuat akan tetap sah untuk tarikh baharu," katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Isnin.

Terdahulu, syarikat produksi dimiliki vokalis Wings, Datuk Awie itu menghimpunkan barisan penyanyi berpengaruh yang pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu seperti Search, Spider, XPDC, Ella dan ramai lagi.

Festival itu diadakan bertujuan untuk menghidupkan kembali suasana era kegemilangan muzik rock dan menyatukan peminat generasi lama dan baharu.

Malah, ia juga berperanan sebagai platform terbaik buat kumpulan rock baharu untuk menonjolkan bakat, sekali gus memperkenalkan lagu dan karya mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram