Pakar perubatan putus asa kerjaya doktor, Dr Dzulkefly titip nasihat teruskan perjuangan


  • Primer
  • Sabtu, 09 Nov 2024

Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) menitip nasihat buat pakar perubatan, Dr Rafidah yang tertekan dengan sistem perubatan KKM.

PAKAR perubatan, Dr Rafidah Abdullah baru-baru ini meluahkan keluhannya terhadap situasi bekerja di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menurutnya cukup mengecewakan.

Beliau juga menyatakan sudah pun menulis surat permohonan persaraan awal kepada kementerian ekoran beberapa faktor berkaitan hal pengurusan dan kebajikan kakitangan yang membelenggu hidupnya sejak sekian lama.

Namun, hajatnya masih lagi tergantung dan buntu untuk membuat keputusan berhubung kerjayanya bersama KKM.

BACA LAGI: Tiada rancangan batalkan Akta Kawalan Produk Merokok, tegas Menteri Kesihatan

BACA LAGI: Robot ganti pekerja bukan lagi filem, Tesla Optimus Bot bakal hidup bersama manusia

Ciapannya di laman X pada Sabtu nyata menerima pelbagai komen dan nasihat daripada warganet yang memintanya untuk bersabar dan terus berkhidmat di sektor perubatan awam itu.

Turut terkesan dengan keluhan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tidak ketinggalan daripada memberikan komen balas terhadapnya.

Merakamkan penghargaan atas segala usaha dan khidmat Rafidah bersama KKM, beliau tegas menyatakan bahawa sistem perubatan negara tidak akan lumpuh selagi kudratnya masih kuat untuk bekerja.

"Sistem kesihatan negara kita tidak akan runtuh, sekurang-kurangnya tidak sementara ada kekuatan dalam tulang saya untuk terus berjuang.

"Perjuangan memang mengambil tempoh yang panjang dan ia membebankan. Tetapi orang baik seperti anda yang menjadikan perjalanan itu berbaloi.

"Tidak mengapa untuk anda untuk berehat, berfikir semula dan menyusun semula strategi. Apa yang lebih penting ialah meneruskan perjuangan, tanpa mengira apa jua haluan yang anda pilih.

"Saya doakan yang terbaik untuk anda dan jika anda memutuskan untuk terus berjuang bersama kami, sekurang-kurangnya saya mempunyai rakan seperjuangan," ciapnya menerusi hantaran di laman X pada Sabtu.

Dalam masa sama, Dr Rafidah turut meminta agar orang ramai terus mendoakannya serta barisan pegawai perubatan dan pakar untuk terus bersemangat menabur khidmat selain berjuang menuntut hak mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram