SERAMAI tiga suspek ditahan polis atas tuduhan membekalkan dadah kepada bintang One Direction, Liam Payne pada Khamis.
Pejabat Pendakwa Jenayah dan Koreksional Kebangsaan Argentina mengesahkan bahawa tiga individu berkenaan dituduh membekalkan dadah kepada Payne dan seorang daripadanya juga didakwa kerana meninggalkan seseorang dalam keadaan terdedah kepada bahaya.
Suspek pertama dipercayai merupakan antara individu yang kerap menemani artis itu setiap hari manakala suspek kedua dan ketiga didakwa membekalkan dadah jenis kokain dan ketiga-tiganya boleh dikenakan hukuman penjara tempoh selama lima hingga 15 tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Penghibur 'Sivaji Singapura' rebah, meninggal ketika sakan menari bersama peminat
Payne meraih populariti selepas enam tahun bersama kumpulan penyanyi One Direction sejak 2010.
Dalam pada itu, mendiang Payne dipercayai mengambil kokain, alkohol dan ubat anti kemurungan sebelum ditemukan mati di sebuah hotel di Buenos Aires, Argentina pada Julai lalu.
Terdahulu, Payne ditemukan mati selepas dipercayai terjun dari balkoni biliknya di tingkat tiga Hotel CasaSur di ibu negara Argentina pada 16 Oktober lalu.
Hasil bedah siasat mendapati, penyanyi itu meninggal dunia selepas mengalami 'pelbagai trauma' dan pendarahan dalaman serta luaran akibat kejadian tersebut.
Pihak pendakwaan bagaimanapun menolak dakwaan campur tangan fizikal pihak ketiga sebagai punca kematian Payne, sebaliknya mengatakan bahawa kecederaan yang dialaminya adalah sepadan dengan kesan disebabkan jatuh dari tempat tinggi. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram