Tak 'koyak' dikecam rakyat Indonesia, pelukis batik Venom bakal tembus kaca TV menerusi animasi Kisah Bawah Tanah


  • Hiburan
  • Rabu, 06 Nov 2024

Arif Rafhan (kiri) bakal melebarkan sayap ke rangkaian televisyen menerusi animasi Kisah Bawah Tanah.

FENOMENA filem adiwira Hollywood, Venom: The Last Dance mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat seluruh dunia.

Ledakan populariti naskhah syarikat produksi Marvel itu bertambah hangat apabila menerima sentuhan ilustrasi batik daripada anak tempatan, Arif Rafhan yang tular di laman sosial baru-baru ini.

Meraih perkongsian meluas di laman sosial, syarikat perfileman antarabangsa Sony Pictures turut memuat naik seni batik itu susulan tayangan filemnya yang berlangsung pada minggu lalu.

BACA LAGI: Batik Malaysia ‘mendonia’ angkara Venom, tapi netizen siap tanya chatGPT buktikan batik asal Indonesia

BACA LAGI: [VIDEO] Venom tak duduk diam, muncul versi wayang kulit Kelantan selepas batik Malaysia 'mendonia'

Di sebalik pujian melambung terhadap karya batik itu, pelukisnya, Arif Rafhan, 47, mendedahkan dirinya turut menerima kecaman hebat segelintir rakyat Indonesia yang menurutnya sangat kompetitif dalam isu hak cipta corak batik.

"Saya pun tak sangka boleh kena kecam dengan penduduk negara jiran yang 'claim' batik tu mereka punya, memang ramai yang puji dan karya saya viral sampai ke antarabangsa tapi kurang disenangi mereka.

"Saya terima banyak mesej di laman sosial yang mengecam dan ada yang sampai ambil gambar anak saya, memberikan ugutan yang tak sepatutnya.

"Kadang-kadang rasa tertekan juga bila karya saya raih populariti ni, tapi saya langsung tak baca mesej itu semua dan komen negatif pun saya abaikan, saya teruskan berkarya demi keluarga dan anak-anak," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, anak kelahiran Ipoh, Perak tersebut bakal melebarkan sayapnya ke dalam dunia seni tanah air menerusi siri animasi kanak-kanak berjudul Kisah Bawah Tanah.

Merupakan pelukis dan konsep artis dalam siri animasi dimiliki syarikat Bawah Tanah Sdn Bhd itu, Arif menjelaskan ia merupakan projek yang dibangunkan bersama sejak 2017 dan bakal mendapat siaran di televisyen tidak lama lagi.

"Kisah Bawah Tanah tercipta sekitar tujuh tahun lalu, kami ambil masa lama sikit sebab nak kumpul dana untuk kembangkan lagi siri animasi ini.

"Berkonsepkan cerita hantu, ia masih mengekalkan elemen nusantara apabila mengetengahkan hantu jerangkung dan pontianak misalnya dalam siri itu, tetapi sesuai ditonton kanak-kanak mahupun dewasa.

"Sasaran penonton sebenarnya bukan dalam kalangan kanak-kanak sahaja, tapi ia sesuai untuk golongan remaja atau dewasa berusia 12 hingga 13 tahun ke atas sebab belum pernah ada siri animasi negara yang buat konsep cerita macam ini," tambahnya.

Menjalin kerjasama dengan Animasi Studio dan Komet Productions Sdn Bhd, Kisah Bawah Tanah yang diinspirasikan oleh kisah rakyat Asia Tenggara itu bakal diangkat ke tahap lebih tinggi apabila dijangka disiarkan di stesen televisyen bermula tahun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram