[VIDEO] Nyanyian 'Bertahan Demi Cinta' Fazura dikritik, rakan artis beri nasihat


  • Hiburan
  • Selasa, 05 Nov 2024

Tangkap layar Fazura ketika menyampaikan lagu Bertahan Demi Cinta secara langsung dalam sebuah program Indonesia.

SETELAH sekian lama menyepi dalam dunia hiburan, pelakon Nur Fazura, 41, atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin kembali mewarnai industri muzik menerusi single terbaharunya berjudul Bertahan Demi Cinta.

Kemunculannya di sebuah rancangan Indonesia pada Isnin mencuri perhatian ramai apabila bintang filem Gol & Gincu itu buat julung kalinya menyanyikan lagu tersebut secara langsung.

Namun, nyanyiannya menerima kecaman hebat di laman sosial susulan lontaran vokalnya yang dikatakan cukup memalukan dan jauh ketinggalan daripada penyanyi-penyanyi hebat tanah air lain.

Turut terkesan dengan perkara itu, artis popular tempatan antara individu yang tidak ketinggalan meninggalkan komen berkaitan nyanyian Fazura.

"An In-Ear-Monitor would fix it, rasanya dia tak dengar apa yang dia nyanyi tu," kata Nanaasheme.

"Okay aku ada geng, suara kita lebih kurang ni.. aku ada peluang ni dengan single aku akan datang," ujar Sharnaaz Ahmad.

"Kerut-kerut dah dahi ni, macam mana ni," tambah Mat Redho.

Ketika disoal tentang kehidupannya selepas berpisah dengan suami, Fazura menjelaskan dia tidak pernah menyesal atas perkara yang berlaku biarpun terpaksa hidup solo setelah perkahwinan yang dibina tujuh tahun lalu hancur.

Terdahulu, lagu Bertahan Demi Cinta pernah mencetuskan bualan hangat apabila ia dilancarkan beberapa hari selepas Fazura dan Fattah Amin sah bercerai pada 7 Oktober lalu.

Namun, lagu tersebut difahamkan sudah lama dirakamkan kedua-dua pelakon itu dan pernah dijadikan runut bunyi (OST) drama Hero Seorang Cinderella (2017). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram