DUNIA perfileman tanah air tidak pernah sunyi daripada naskhah berkualiti yang sentiasa menjadi tontonan masyarakat pelbagai kaum.
Bermula dari layar hitam putih, perkembangan teknologi semasa turut menyumbang kepada kemajuan industri yang semakin kreatif menghasilkan karya terbaik.
Pun begitu, era awal 1990an menyaksikan beberapa filem bertaraf lima bintang pernah tercipta menerusi arahan penggiat seni terdahulu yang sememangnya berbakat dalam dunia pengarahan.
BACA LAGI: SIAR: Karya trilogi 'Esok' arahan Jins Shamsuddin catat sejarah, bolot anugerah peringkat Asia
Sehingga kini, naskhah terhasil masih berupaya meraih tontonan dari segi konteks imbauan yang menggamit kenangan individu lahir di zaman berkenaan.
Filem-filem berikut merupakan antara karya terhasil pada awal 1990an yang sekali gus membuktikan tahun itu sebagai zaman emas perfileman Melayu.
1. Femina
Femina merupakan sebuah filem romantik komedi arahan Aziz M. Osman yang mempertaruhkan Eman Manan, Erma Fatima dan Susan Lankester sebagai tunjang utama.
Berkisahkan seorang wanita yang membenci golongan lelaki, lakonan Erma Fatima meraih pujian penonton yang amat mengagumi karakter tomboi yang dibawakan dalam filem tersebut.
Malah, penampilan Eman Manan sebagai hero juga dikatakan cukup berbeza dengan lakonannya sebelum ini yang lebi banyak memainkan peranan sebagai pesilat ataupun lelaki bengis.
Merupakan antara karya panggung popular pada era tersebut, Femina turut mengangkat Susan Lankester memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia pada tahun berkenaan.
2. Penyu
Tidak mengekalkan konsep filem romantik dan komedi yang banyak menghiasi layar perak pada tahun tersebut, pengarahnya, Mohd Ariff Shah mengambil langkah berani mempertaruhkan plot drama sedih menerusi Penyu.
Puteri Nor Maria merupakan antara pelakon cilik berbakat pernah mewarnai industri filem retro satu ketika dahulu dan wataknya sebagai Fauziah dalam karya tersebut cukup menyentuh hati.
Membawa peranan sebagai anak yatim piatu yang menjadi mangsa dera ibu saudaranya, kualiti lakonan Puteri yang ketika itu berusia sekitar 10 tahun teruji apabila banyak melakonkan adegan tangisan dan mangsa dera.
Namun, bakatnya tidak disia-siakan apabila dianugerahkan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-11.
3. Sembilu
Dunia perfileman tanah air era 1994 bagai didatangi ombak besar apabila filem Sembilu gandingan mantap Dato Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat.
Mencatat sejarah dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM4.39 juta, filem arahan Datuk Yusof Haslam itu tersenarai antara karya agung malar segar dalam ingatan penonton hingga ke hari ini.
Ketiga-tiga tunjang utama itu masing-masing meraih anugerah pada Anugerah Bintang-Bintang Popular pada 1995 sekali gus melonjakkan populariti naskhah itu yang kemudiannya disambung pada dua lagi siri pada 1995 dan 2005. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram