SIAR: Karya trilogi 'Esok' arahan Jins Shamsuddin catat sejarah, bolot anugerah peringkat Asia


  • Hiburan
  • Rabu, 30 Okt 2024

Jins Shamsuddin merupakan antara seniman agung paling disegani dalam industri perfileman tanah air.

SENIMAN legenda Allahyarham Jins Shamsuddin merupakan antara pelopor industri filem tanah air di samping karyanya yang masih dijulang hingga ke hari ini.

Penampilannya menerusi lebih 40 buah filem sejak era 1950-an, menyaksikan anak kelahiran Taiping, Perak itu meninggalkan legasi seninya dengan cara yang cukup terhormat menerusi naskhah agung seperti Sarjan Hassan, Si Tanggang, Gerak Kilat dan banyak lagi.

Terkenal dengan gelaran 'James Bond Asia', kelibat Allahyarham dalam filem bergenre risikan sebelum ini pernah mencetuskan fenomena apabila kebanyakannya dilakonkan di Hong Kong.

BACA LAGI: SIAR: 'Nak pesan mata awak', selain Janji Diana, watak Azroy dalam Gila Gila Remaja masih digelar ikonik filem permotoran retro

BACA LAGI: Tayangan perdana di Belanda, Mencari Ramlee tersenarai ke Festival Filem Rotterdam

Beliau yang juga sezaman dengan beberapa nama besar seperti Tan Sri P. Ramlee, Nordin Ahmad dan Aziz Jaafar, Jins Shamsuddin terkenal dengan beberapa karya filem trilogi 'Esok' arahannya yang sebelum ini pernah memenangi anugerah di peringkat antabangsa.

1. Tiada Esok Bagimu

Merupakan sebuah filem arahan Jins Shamsuddin pada 1979, karya itu mengetengahkan konflik dalam kalangan masyarakat golongan atasan melibatkan individu terhormat, peguam dan arkitek.

Menariknya filem ini, sebahagian besar daripadanya dikatakan diadaptasi daripada kisah benar hasil perkongsian seorang wanita dengan Jins Shamsuddin.

Membawakan watak utama sebagai Ghazlan di samping pelakon hebat Sarimah Ahmad dan Noorkumalasari, Tiada Esok Bagimu berjaya merangkul anugerah filem terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM1) pada 1979.

2. Esok Masih Ada

Berkisahkan jenayah negara di era 1980-an, filem Esok Masih Ada merupakan antara naskhah terawal yang diterbitkan dalam bentuk warna.

Melakonkan watak sebagai anggota polis, Zamri lakonan Jins Shamsuddin menampakkan sisi tegas beliau apabila banyak mempamerkan babak tembak menembak dan pertarungan dengan kumpulan kongsi gelap.

Filem arahan ketiga Jins Shamsuddin itu berjaya memahat sejarah tersendiri apabila memenangi dua pencalonan pada anugerah Pesta Filem Malaysia Pertama antaranya Pelakon Wanita Terbaik (Azean Irdawaty), Jurukamera Terbaik (S. Mohan).

Malah, filem tersebut turut dijulang di luar negara apabila dinobatkan filem terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-26 di Jakarta, Indonesia pada 1980.

3. Menanti Hari Esok

Sebuah lagi filem arahannya, Menanti Hari Esok (1977) turut tersenarai antara karya agung malar segar dalam ingatan penonton.

Sekali lagi menampilkan gandingannya bersama Noorkumalasari sebagai tunjang utama, penggambaran filem itu dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan kota London, England selama lebih tiga bulan.

Menelan belanja RM200,000, filem berkenaan meraih kutipan pecah panggung apabila berjaya mengutip melebihi RM1 juta selama hampir dua bulan tayangannya di panggung Coliseum, Kuala Lumpur.

Ia sekali gus melonjakkan filem itu di persada negara apabila meraih dua gelaran pada Festival Filem Malaysia iaitu Pelakon Wanita Terbaik (Noorkumalasari) dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Salim Bachik). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram