SEORANG penggiat seni tanah air meluahkan kekecewaannya berhubung ketiadaan pencalonan penulis skrip pada Anugerah Seri Angkasa 2024 (ASA2024) yang berlangsung baru-baru ini.
Merupakan seorang penerbit dan isteri kepada pelakon Khir Rahman, Siti Jasmina Ibrahim kesal kerana kelompok itu sering dianak tirikan dalam industri tanah air.
Malah, dia turut menzahirkan ketidakpuasan hati berhubung pecahan kategori penilaian skrip terbaik yang tiada kategori membezakan format drama bersiri atau telefilem.
BACA LAGI: Tayangan perdana di Belanda, Mencari Ramlee tersenarai ke Festival Filem Rotterdam
"Trofi Penulis Skrip Terbaik tidak ada di malam kemuncak. Diberi hari lain di majlis lain tanpa memaklumkan pun kepada calon Top 5 dan penulis skrip drama siri tak pernah ada kategori khasnya sendiri.
"Dahulu pernah kena kongsi dengan penulis skrip telemovie. Semua ini hanya berlaku di Malaysia tanah airku. Terima kasih Malaysia," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Di ruangan komen, rata-ratanya meluahkan pendapat berhubung isu berkenaan yang dianggap 'berat sebelah' dan dipinggirkan dalam mana-mana karya tempatan.
"Dalam poster teater pun susah nak nampak nama penulis skrip, gamaknya skrip tu pelakon dan pengarah yang buat sendiri agaknya," kata Yusof Bakar.
"Kalau di negara luar, Korea Selatan misalnya nama penulis skrip mesti disebut, kalau ada filem mesti penulis skrip yang diangkat tapi berbeza dengan Malaysia," ujar Ida Ra.
"Menyedihkan, penulis skrip di negara ain sangat dihormati dan diangkat tinggi, sentiasa diberi penghargaan," tambah Idora Darwina.
Terdahulu, ASA2024 kali ini mempertaruhkan 60 kategori meliputi televisyen, radio dan media baharu serta lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.
Sobri Anuar dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Drama TV Terbaik menerusi drama Bahalol sekali gus menundukkan empat lagi calon yang tersenarai dalam kategori sama iaitu Datuk Rosyam Nor, Fattah Amin, Nasir Bilal Khan dan Iman Zulkarnain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram