Tayangan perdana di Belanda, Mencari Ramlee tersenarai ke Festival Filem Rotterdam


  • Hiburan
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Mencari Ramlee bakal ditayangkan di Festival Filem Rotterdam pada Februari depan.

BELUM lagi ditayangkan, filem Mencari Ramlee arahan Megat Sharizal, 45, mencipta sejarah apabila tersenarai pada Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR) yang bakal berlangsung pada Februari 2025.

Mencari Ramlee merupakan antara 13 buah karya dari serata dunia yang bakal mendapat tayangan perdana pada festival tersebut kelak.

Hal itu diumumkan menerusi hantaran Facebook IFFR pada Jumaat yang menjelaskan kesemua filem berkenaan tersenarai bagi kategori 'Bright Future and Harbour' pada festival berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Memoir Seorang Guru' alam nyata, Cikgu Al Tarmizi kongsi suka duka pengalaman mengajar di pedalaman Sarawak

BACA LAGI: [VIDEO] Asalnya kumpulan nasyid, ‘Di Renjis-Renjis’ versi rock metal jadi identiti muzik CSE Buskers

Pengarahnya, Megat Sharizal berkongsi kegembiraan berhubung perkara itu dan mengucapkan terima kasih kepada semua individu yang terlibat dalam pembikinan filem tersebut.

"Alhamdulillah. Aku bangga untuk mengumumkan bahawa filem Mencari Ramlee bakal mendapat tayangan perdananya di Festival Filem Rotterdam pada bulan Februari nanti.

"Terima kasih kepada semua yang terlibat," ujarnya di laman Facebook pada Jumaat.

Merupakan filem arahan pertamanya sejak terjun ke dunia hiburan tanah air pada 2007, Megat sebelum ini banyak terlibat dalam telefilem dan drama televisyen.

Mencari Ramlee berkisarkan era kejatuhan seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang difahamkan berlaku pada 1970-an.

Filem yang dijangka ditayangkan pada 2025 itu dibintangi beberapa pelakon ternama antaranya Tony Eusoff, Sofea Jane, Mimi Lana, Amerul Affendi, Bront Palarae dan ramai lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram