Selangkah lebih berani, rakyat cemburu bekas atlet, artis seberang jadi barisan Kabinet Indonesia


  • Hiburan
  • Isnin, 28 Okt 2024

Taufik Hidayat (kiri) dan Giring Ganesha masing-masing dilantik memegang jawatan dalam kabinet menteri Indonesia.

PERUBAHAN kabinet Parlimen Indonesia baru-baru ini mencetuskan perhatian ramai ekoran pelantikan seorang penggiat seni dan atlet sebagai menteri di negara tersebut.

Bekas vokalis kumpulan Nidji, Giring Ganesha, 41, dan jaguh badminton Taufik Hidayat, 43, masing-masing dilantik sebagai Timbalan Menteri Kebudayaan dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

Meraih pujian dalam kalangan masyarakat Indonesia, perkara itu turut dicemburui penduduk negara yang menyifatkan negara seberang kini selangkah di hadapan berbanding Malaysia.

BACA LAGI: ‘Akulah Sang Mantan’, bekas vokalis Nidji dilantik Timbalan Menteri Kebudayaan Indonesia

BACA LAGI: Suami pelakon jelita Indonesia, Pevita Pearce rupanya anak usahawan tersohor Malaysia

Cover-92-800x436

Giring Ganesha meninggalkan karier nyanyian demi menceburkan diri dalam dunia politik.

Manakan tidak, pemilihan kedua-dua individu berpengaruh itu dianggap cukup bijak dan berupaya melonjakkan lagi industri sukan serta hiburan negara berkenaan.

Pakar dalam bidang masing-masing, langkah itu sedikit berbeza dengan Malaysia yang dilihat kurang terbuka untuk menyerap masuk penggiat seni ataupun atlet ke dalam Kabinet menteri.

Setakat ini, peluang beberapa selebriti dan ahli sukan negara menceburkan diri dalam dunia politik hanya terbatas di peringkat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang secara dasarnya masih jauh untuk diserap masuk ke dalam barisan Kabinet.

Antara muka baharu yang mula melangkah ke bidang politik negara baru-baru ini adalah Radhi Mat Din sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah, Altimet (ADUN Lembah Jaya), Baddrol Bakhtiar (ADUN Gurun) dan Anne Ngasri (Exco Wanita Umno).

363930464_864081405085359_7260422034969451619_n-1200x798

Baddrol Bakhtiar merupakan antara atlet negara yang melangkah ke alam politik.

Perkara itu sedikit sebanyak mencetuskan persoalan dalam kalangan warganet yang mula melihat jurang perbezaan itu perlu ditambah baik pada masa akan datang.

"Taufik Hidayat jadi wakil Menteri Pemuda dan Olahraga. Dia bekas atlet, juara Olimpik, juara dunia dan sekarang jadi menteri, memang badminton dapat perhatian lebih la nanti kat Indonesia," kata Udainosor.

"Aku harap Malaysia pun ikut jejak Indonesia satu hari nanti, lantik orang yang pakar dalam sesuatu bidang berkaitan di kementerian, baru la ia berfungsi dengan baik," ujar Orkid_Hutan.

"Setuju sangat kalau Malaysia buat sama, lantik pak menteri dalam kalangan orang yang betul-betul berpengalaman dalam bidang tertentu, bukan kalangan ahli parlimen biasa," tambah orcbolg00.

Terdahulu, Prabowo Subianto mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal 2024-2029 di Parlimen Indonesia pada minggu lalu.

Beliau kini memegang jawatan sebagai presiden negara demokrasi ketiga terbesar di dunia berdasarkan populasi, susulan kemenangan Pilihan Raya Presiden 2024 pada 14 Februari dengan memperoleh 59 peratus undi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram