Tokoh ASWAJA rayu sumbangan RM60,000 lepas tewas saman fitnah, dakwa bekas menantu dapat dana individu ternama di Perlis


  • Hiburan
  • Selasa, 29 Okt 2024

Shakila Saiful (kiri) menang saman fitnah terhadap bekas bapa mentuanya.

BEKAS Ratu Cantik Malaysia, Shakila Saiful baru-baru ini menang saman fitnah terhadap bekas bapa mentuanya, Ustaz Engku Fadzil yang merupakan tokoh Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA).

Susulan itu, Engku menerusi laman Facebook pada Ahad meminta sumbangan ikhlas sebanyak RM60,000 daripada orang ramai demi membiayai kos guaman tersebut.

BACA LAGI: Dakwa curang dan abai anak bertahun lamanya, Fazura-Fattah Amin sah bercerai talak 1

BACA LAGI: ‘Itu semua fitnah, tohmahan mengaibkan saya’, Fattah cabar Fazura kemuka bukti, nafi dakwaan abai nafkah

"Ustaz Engku tidak mendapat biayaan khusus daripada sesiapa, oleh itu Ustaz Engku dengan ini membuka ruang kepada sesiapa yang sudi dan mampu untuk menyumbang kepada kos guaman peringkat rayuan ini yang kesemuanya berjumlah RM65,000 yang mana RM5,000 telah dibayar oleh Ustaz Engku sendiri.

"Sesiapa yang mampu dan sudi untuk meringankan beban kewangan Ustaz Engku di dalam usaha beliau membersihkan nama beliau daripada tuduhan-tuduhan yang dilontarkan oleh bekas menantu beliau, dialu-alukan untuk berbuat demikian.

"Untuk memudahkan urusan dan rekod, Ustaz Engku mencadangkan sesiapa yang mampu dan sudi untuk menyumbangkan sejumlah RM500 ke atas untuk kos guaman ini boleh berbuat demikian dengan memasukkan jumlah berkenaan langsung ke akaun peguam," katanya.

Dalam pada itu, tokoh agamawan itu turut mendakwa kos guaman bekas menantunya, Shakila dibiayai oleh individu ternama di Perlis.

"Ustaz Engku ada menerima maklumat pada 27 Mac 2023 bahawa kos guaman bekas menantu dibiayai oleh Mufti Perlis.

"Apapun, Ustaz Engku tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat tersebut dan sekiranya benar sekali pun Ustaz Engku tidak pasti adakah yang dimaksudkan dibiayai oleh Mufti Perlis itu bererti menggunakan dana peribadi beliau atau bermaksud dipermudahkan urusan oleh beliau untuk mendapat dana tertentu," ujarnya.

Terdahulu, Ustaz Engku telah memfailkan saman fitnah sivil terhadap Shakila selepas enggan membuat permohonan maaf berkaitan kenyataan dibuat di pelbagai platform media sosial.

Mendakwa Shakila menabur fitnah dan mempunyai niat jahat menjatuhkan reputasinya, Engku kemudiannya memulakan saman terhadap bekas menantunya itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram